GEORGE TOWN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Watikah Wira Negara dan surat penghargaan kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari, 39, atas sumbangannya mempertahankan benteng negara.
Penyerahan watikah dan surat itu dilakukan juruiring baginda, Datuk Yahaya Othman bersama Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan, ketika menziarahi anggota polis itu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, tengah hari tadi.
Yahaya berkata, beliau diarahkan oleh baginda untuk menziarahi Norihan yang cedera akibat ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand Selasa lepas, yang mengorbankan seorang anggota PGA rakan sepasukannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54.
“Selain itu, Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga berdoa supaya Norihan cepat sembuh dan kesihatannya bertambah baik untuk berkhidmat pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah itu sambil ditemani isteri anggota PGA itu, Fardilla a/p Adam.
Yahaya berkata, Norihan sangat teruja dan terharu sebaik menerima watikah serta surat penghargaan daripada Al-Sultan Abdullah dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan baginda.
Katanya, Al-Sultan Abdullah juga telah menitahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk menziarahi keluarga Norizan dan beliau dimaklumkan mereka dalam keadaan baik.
“Apa yang saya dapat lihat, Norihan sangat kuat semangat dan dia mengingati semua perkara…dia turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana mengambil berat mengenai dirinya,” katanya.
Norihan yang dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP pada Rabu lepas, selamat menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga peluru dalam badannya akibat ditembak penyeludup semasa bertugas di Pos Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis. – MalaysiaGazette