BUENOS AIRES – Kematian lagenda bola sepak, Diego Maradona Selasa lalu mencetuskan masalah baharu apabila hartanah dan aset mewah serta perniagaan yang ditinggalkan menjadi rebutan 10 orang anak dan bekas isterinya.
Pakar undang-undang di Argentina dilaporkan sedang menilai jumlah aset-aset yang dimiliki mendiang yang meliputi sekurang-kurangnya lima buah rumah, kereta mewah dan perniagaan.
Kematianya mengakibatkan hartanah berupa ladang yang bernilai £75 juta kini menjadi sasaran 10 anak dan bekas tunang.
Selepas 48 jam dikebumikan, seorang remaja Santiago Lara, 19, yang mendakwa beliau adalah anak luar nikah Maradona mahu mayat bapanya digali semula untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan dakwaan itu.
Ini hanyalah permulaannya, Rocio Oliva yang bertunang dengan mendiang selama enam tahun sebelum berpisah pada 2018 menuntut pampasan kewangan, menurut peguam terkemuka Argentina, Ana Rosenfeld.
Lima lagi anak mendiang bersama model terkemuka Itali, Cristiana Sinagra iaitu Diego Jr, 34, Dalma, 33, Gianinna, 31, Jana, 24, Diego Fernando, 7, dilaporkan merebut untuk berkongsi harta yang ditinggalkannya.
Santiago Lara dan Magali Gil, 23, selain tiga lagi anak Maradona yang lain dijangka akan menuntut hak mereka.
Para pakar mendakwa ladang milik Maradona mampu menjana berjuta pound secara berterusan pada masa depan selain pelaburan yang dibuat di serata dunia.
Ketika pencarian aset-aset dimulakan, laporan turut mendakwa sebahagian kekayaan Maradona akan pergi kepada kerajaan Itali dalam bentuk cukai yang tidak dibayar ketika bersama Napoli pada tahun 80-an.
Kes itu pernah dibawa ke mahkamah dan pada 2013 keputusan mahkamah memihak kepada Maradona dengan dakwaan dia gagal membayar cukai hampir 36 juta pound sehingga 1990 adalah tidak berasas.
Justeru peguam Maradona di Itali, Angelo Pisano berkata, dia sedang menyemak jumlah aset yang ditinggalkan pemain itu.
“Maradona tidak menerima gaji mahal sebagai pemain dan dia tidak berminat dengan wang, ramai orang mengambil kesempatan terhadapnya dari segi kewangan,” dakwa Pisano.-MalaysiaGazette