JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor telah mengusir lima buah kapal dagang berasal dari pelbagai negara, kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tompok Utara, berhampiran Kota Tinggi, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua kapal yang berdaftar di Dominica, Indonesia, Palau, Panama serta Liberia itu, diusir menerusi satu operasi.
“Sebuah kapal ronda APMM telah ditugaskan untuk mengusir kapal-kapal dagang terbabit, yang disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perairan Tompok Utara menjadi kawasan tumpuan bagi kapal-kapal dagang untuk bersauh, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu, berikutan kebanyakan negara mengambil langkah sekatan pergerakan keluar masuk di pelabuhan utama.
Katanya keadaan, tersebut menyebabkan kapal-kapal dagang mengambil kesempatan untuk bersauh di sekitar perairan Malaysia, tanpa kebenaran.
Menurut Nurul Hizam, sepanjang bulan ini, pihaknya sudah mengusir 23 kapal dagang di perairan Tompok Utara, manakala menahan kira-kira 17 kapal dagang di perairan Johor Timur, sepanjang tahun ini.
“Diingatkan bahawa perairan Permatang Timur (Eastern Bank), Beting Ramunia (Ramunia Shoal) dan Tompok Utara (North Patch) masih berada dalam Zon Maritim Malaysia dan bukannya perairan antarabangsa, walaupun jaraknya melebihi 12 batu nautika dari daratan terdekat.
Justeru, sebarang aktiviti di perairan tersebut, perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa Malaysia bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil,” katanya.
Nurul Hizam berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan jenayah maritim di perairan Johor, boleh menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di 07-2199404. – Bernama
Usir sahaja tidak akan menyelesaikan masalah! Perlu tegas ambil tindakan undang2!
Takut2 nanti semua tidak akan lagi menghormati undang2 negara, takut mereka akan lebel undang2 cap ayam!