GOMBAK – Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan bagi memboleh semua presiden-presiden parti menyumbang pandangan masing-masing kerana ada di kalangan presiden parti tidak berada dalam Kabinet.
Kata Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, penubuhan itu juga bagi memperkukuhkan kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pada ketika ini bukan semua ketua parti berada dalam Jemaah Menteri, dan mungkin mereka ada pandangan mereka sendiri.
“Jadi Perdana Menteri mengambil sikap yang cukup terbuka untuk memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional dan menimbang dan ada kewajaran untuk membentuk satu majlis Presiden yang melibatkan semua ketua-ketua parti dalam kerajaan untuk mendengar pandangan dan maklum balas daripada mereka,” katanya ketika menghadi Program Sumbangan Penggantian Pam Air di Pangsapuri Sri Harmonis, Gombak Setia, hari ini.
Semalam, Muhyiddin berkata, sudah tiba masanya bagi sebuah Majlis Presiden dianggotai ketua parti yang membentuk kerajaan PN dibentuk.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga berkata, majlis itu akan membolehkan semua ketua parti menyampaikan pandangan parti masing-masing terutama mengenai dasar kerajaan untuk perhatian Kabinet.
Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dengan penubuhan Majlis Presiden PN ini akan memudahkan segala perancangan dalam gabungan itu dibuat.
Katanya lagi, presiden-presiden parti yang menyertai PN akan membincangkan pandangan mereka terhadap kerajaan demi kepentingan rakyat.
“Sebelum ini kita sudah ada perbincangan tetapi dalam kerangka yang tidak formal.
“Seperti Perdana Menteri katanya beberapa hari lalu beliau telah bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara tertutup untuk membincangkan hati ke hati bagaimana UMNO, BN dan PN dapat melihat usaha-usaha kearah perkara yang saya nyatakan tadi. Mungkin kali ini baik kita lakukan secara lebih teratur dan terancang,” katanya lagi.
Majlis Presiden PN dijadualkan akan disertai Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg serta Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, masing-masing ketua menteri Sarawak dan Sabah, bukan anggota Kabinet Muhyiddin. – MalaysiaGazette
Tolak PN!!!
Dalam dunia ini terdapat beribu2 berjuta2 jenis organisasi dgn line of kommunikasi yang bermacam telah dicuba dan digunakan. Tak usahlah nak tiru Pakatan Hancing punya organisasi?
Cari lah yang lain yang lebih baik!