KUALA LUMPUR – Seramai 99 orang dan dua penyeludup di tangkap dalam Operasi Benteng yang bertujuan mengawal sempadan negara daripada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengawal penularan Covid-19
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak dua buah kenderaan darat turut dirampas dalam operasi tersebut.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kata Ismail Sabri berkata sebanyak 280 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksanakan semalam dan daripada jumlah itu sebanyak 212 SJR membabitkan Op Penawar ATM, PDRM dan Rela.
Sementara Ismail Sabri memberitahu, seramai 77,211 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
Tambah beliau, kesemua mereka ditempatkan di 79 hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.
“Daripada jumlah itu, seramai 10,611 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.
“Manakala 405 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan sementara seramai 66,195 individu telah dibenarkan pulang,” ujarnya. – MalaysiaGazette