Home Nasional SKMM selesaikan masalah internet di Kg. Gusi

SKMM selesaikan masalah internet di Kg. Gusi

Pengarah MCMC Sabah dan Labuan, Izani Othman (dua dari kanan) berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah (tengah) bagi mendapatkan gambaran keadaan terkini ketiga-tiga pelajar yang terjatuh ketika cuba mendapatkan capaian Internet. Foto SKMM

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyediakan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi VSAT kepada Kampung Gusi sebagai penyelesaian sementara masalah capaian internet di kawasan tersebut.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, pemasangan VSAT dengan kerjasama syarikat yang disokong kerajaan negeri Sabah, Common Tower Technologies Sdn. Bhd. (CTT) akan dilaksanakan selewat-lewatnya 15 Disember ini.

Selain itu, tiga menara telekomunikasi akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Tambahnya, lokasi-lokasi yang terlibat telah dinyatakan dalam dokumen tender yang dikeluarkan SKMM pada 20 November lalu.

“Semua pelajar dinasihatkan untuk tidak membahayakan diri dalam usaha mencari capaian Internet,” katanya.

Dalam satu kejadian pada Isnin lalu, tiga orang murid jatuh ketika mendapatkan capaian Internet untuk pembelajaran atas talian apabila sebuah jambatan gantung roboh.

Difahamkan, capaian internet di jambatan tersebut adalah lebih baik.- MalaysiaGazette