KUALA LUMPUR – Kumpulan kongsi gelap, Geng 36 Malik Selayang yang aktif melakukan kegiatan jenayah di kawasan Batu Caves, Gombak dan Selayang, dekat sini sejak tiga tahun lalu lumpuh dengan tertangkapnya ketua kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Malik.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, Malik ditangkap pada 30 Oktober lalu di rumahnya di Damansara.
“Sebelum ini ahli-ahli kumpulannya seramai 16 orang berjaya dicekup polis dan direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan tujuh daripadanya telah dituduh di mahkamah dan kini dengan tertangkapnya ketua kumpulan itu Malik, maka geng ini akhirnya berjaya ditumpaskan dan diyakini terkubur sepenuhnya,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Arifai, polis merampas pistol revolver .38 milik Malik yang digunakan untuk tujuan jenayah termasuk membunuh dan dia memiliki 10 rekod jenayah lampau.
“Dua adik beradik Malik yang menganggotai kumpulan itu berjaya dicekup dan kini kita sedang memburu lima lagi ahli geng itu yang masih bebas,” ujarnya sambil menambah kumpulan kongsi gelap itu turut terlibat dengan satu kes bunuh.
Lima suspek yang diburu polis itu ialah Mugeelan Tamil Selvan,29, Ganegeshwaran Vaithalingam, 27, Jayenthiran Manimaran, 25, Navinthiran Ganasan, 25, dan Prem Ganesh Rajandran, 27.
Sementara itu, Arifai berkata, setakat ini 21 laporan polis jenayah pelbagai diterima terhadap kumpulan Geng 36 Malik Selayang.
Berikutan itu, beliau meminta mereka yang pernah menjadi mangsa kumpulan tersebut tampil memberi keterangan kepada polis. – MalaysiaGazette