KUALA LUMPUR – Sebuah kilang pemotongan aluminium di Meru Klang, Selangor kerugian kira-kira RM145,000 apabila peralatan pemotongan kilang terbabit didapati hilang dari stor simpanan sejak Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dalam kejadian itu, kilang berkenaan kehilangan sebanyak 99 kotak plastik berwarna putih dengan setiap satunya berisi 10 mata pemotong.
Susulan itu, sepasukan anggota polis dari Cawangan D4, Ibu Pejabat Polis Klang Utara menangkap dua lelaki warganegara asing yang disyaki terlibat dalam kecurian di kilang terbabit.
“Barang tersebut disedari hilang pada awal Mac ini semasa kilang tidak beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pengadu telah dimaklumkan oleh rakannya yang mempunyai kilang menjual barang pemotongan aluminium di Puchong, Selangor bahawa terdapat dua warga asing mahu menjual barang berkenaan di kilangnya.
“Pengadu telah pergi ke kilang rakannya itu dan mengesahkan barang tersebut adalah barang miliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Nurulhuda, kedua-dua lelaki warga negara asing itu berusia antara 32 dan 23 tahun dan salah seorang suspek itu merupakan pekerja kilang tersebut sebagai pengawal keselamatan sejak dua tahun lalu.
“Seorang lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur dan semasa tangkapan, turut dirampas sejumlah barang kes dan kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek ditahan reman di bawah Akta Imigresen 1959 selama 14 hari, bermula 27 November hingga 10 Disember ini.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan barang kes,” katanya lagi. – MalaysiaGazette