KUALA LUMPUR – Tindakan penyamun yang mencampak dompet dengan kad pengenalan mangsa berhampiran sebuah banglo di Taman Tiara Titiwangsa di sini akhirnya memakan diri.
Ini kerana isteri mangsa kejadian pertama dan keluarga mangsa samun kedua berjaya mengecam wajah kedua-dua penyamun yang tidak bertopeng itu seterusnya membantu polis menahan sekumpulan 10 saspek yang terlibat.
Hasilnya, kesemua 10 saspek lelaki warga tempatan itu yang menyamun dan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Insitut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Wan Hassan Wan Embong ditahan di sebuah kondominium yang mereka sewa di Jalan Sultan Ismail.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, salah seorang saspek adalah individu yang mengaku bertanggungjawab menyamun dan menetak Wan Hassan sehingga maut dalam kejadian 3.30 pagi semalam.
Menurut beliau, kesemua mereka ditahan menerusi serbuan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Katanya, polis kini sedang memburu seorang lagi saspek yang masih bebas dalam kes yang kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kesemua saspek adalah berusia antara 20 hingga 29 tahun yang tinggal bersama secara berkumpulan berjaya ditangkap di sebuah rumah kondominium di ibu negara.
Mengulas kejadian samun yang pertama melibatkan kematian Wan Hassan, ia disedari berlaku apabila mangsa dan isterinya yang berasa haus turun ke tingkat bawah rumah untuk minum air dari peti sejuk sebelum terkejut melihat kehadiran dua penyamun sebelum mangsa dan suaminya ditetak.
“Bagaimanapun, si isterinya berjaya melarikan diri masuk bilik dan mengunci pintu manakala arwah rebah di atas lantai dan meninggal dunia,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Saiful Azly, isteri mangsa yang mengalami kecederaan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tempat yang sama mayat pesara kerajaan itu dihantar untuk bedah siasat.
Pada hari yang sama juga, katanya, polis menerima aduan dari seorang jurutera tempatan berusia 34 tahun yang mendakwa kediamannya dipecah masuk oleh dua saspek bersenjata parang dan tukul besi.
Kedua-dua saspek dikatakan mengumpil cermin tingkap rumah serta menyamun keluarganya.
Menurut mangsa kes samun kedua itu, mereka sekeluarga diikat dengan kabel telefon dan mulut disumbat dengan kain sebelum barangan peribadi mereka dicuri saspek sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun pengadu dan keluarganya tidak diapa-apakan namun mereka mengalami kerugian apabila wang tunai RM3,500, dua set televisyen, tiga buah komputer riba, seutas rantai emas, dan seutas gelang tangan emas yang kesemuanya bernilai RM38,000 dibawa lari penyamun.
“Oleh kerana saspek tidak bertopeng dan lakaran fotofit dibuat pengadu dan ahli keluarga lain sebelum mendapati kedua-duanya saspek sama terlibat kejadian samun pertama.
“Selepas kejadian samun kedua dan suspek mahu melarikan diri sebelum mencampak dompet mangsa terbunuh (Wan Hassan) dalam samun pertama selepas disergah orang awam dan ia kemudiannya membawa kepada penahanan saspek dan rakan-rakannya,” katanya lagi.
Susulan tangkapan itu, polis berjaya merampas 22 buah barang termasuk kereta yang digunakan oleh saspek serta telefon bimbit selain lapan daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan dan dadah.
Mereka dibawa ke mahkamah dan berjaya mendapatkan reman selama tujuh hari sehingga 6 Disember ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette