KUALA LUMPUR- Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KAJ Development Sdn. Bhd. (KAJD), Datuk Michelle Ong meluahkan rasa sedih dan terkilan kerana projek mega, Melaka Gateway dibatalkan oleh kerajaan negeri Melaka baru-baru ini.
Melaka Gateway yang merupakan cetusan idea Michelle itu sepatutnya mampu menjadi pemangkin utama pembangunan negara.
Ia juga berpotensi menjadikan Melaka sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebaris dengan Selangor atau Pulau Pinang dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Kita perlu menyimpan impian yang lebih besar untuk mencapai potensi penuh.
“Kita berpotensi untuk meraih pencapaian yang lebih tinggi dan saya berhasrat untuk melihat rakyat Melaka mempunyai peluang lebih banyak dan bukan hanya bergantung kepada pelancongan semata-mata.
“Selat Melaka mempunyai kelebihan kerana kedudukannya yang strategik dan menjadi laluan perdagangan syarikat-syarikat perkapalan utama, namun kita tidak mengambil peluang tersebut untuk meraih potensi yang lebih besar.
“Selama bertahun-tahun saya serahkan jiwa dan raga untuk projek Melaka Gateway ini.
“Banyak pelabur yang saya temui komited untuk melabur berbilion dolar Amerika kerana mereka percaya saya mampu melaksanakan projek yang bakal membawa kegemilangan kepada Melaka dan Malaysia,” luahnya dalam satu kenyataan.
Menurut Michelle, projek yang pernah diangkat sebagai projek mega kebangsaan oleh dua bekas Perdana Menteri daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan itu tidak harus dibimbangi akan menjadi projek gajah putih.
Ini kerana beliau sentiasa memastikan dan berusaha keras supaya Melaka Gateway mampu menjana pendapatan meskipun komponen utamanya masih belum direalisasikan.
“Saya perlu berusaha keras untuk menjadikan projek tersebut mampu menjana pendapatan sebelum komponen utamanya direalisasikan.
“Jadi, apa-apa yang berlaku kepada projek Melaka Gateway bermula dari sekarang adalah tanggung jawab saya dan semua pelabur yang komited terhadap saya.
“Semua ini kekal tidak berubah,” katanya lagi.
Pejabat Ketua Menteri Melaka pada 16 November lalu memaklumkan perjanjian dengan KAJD ditamatkan kerana syarikat tersebut didapati gagal menyiapkan projek berkenaan.
Dua hari lepas, Ketua Menteri Melaka memberitahu, projek Melaka Gateway tetap akan diteruskan namun perincian mengenai syarikat yang bakal dianugerahkan projek berkenaan masih belum didedahkan.
Projek mega Melaka Gateway diteruskan
Untuk rekod, Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial bercampur meliputi kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada tiga pulau baru dengan dua daripadanya adalah buatan manusia yang dijangka siap pada 2025.
Melaka Gateway dulu didakwa jual negara sekarang jadi pembangunan penting
Projek bernilai RM43 bilion itu dijangkakan dapat membantu sasaran kerajaan menerima kunjungan 36 juta pelancong menjelang 2020.
Ia merangkumi 12 presint antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan yang bakal menawarkan 15,000 peluang pekerjaan.
Ia dilancarkan pada Februari 2014 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette
INDAH CERITA DARI REALITI SEBENARNYA NANTI…