Home Politik PN akui kapasiti jemaah menteri lebih besar daripada PH

PN akui kapasiti jemaah menteri lebih besar daripada PH

Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengakui saiz pentadbiran bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih besar daripada pentadiran Pakatan Harapan (PH).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengakui saiz pentadbiran bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih besar daripada pentadiran Pakatan Harapan (PH).

Mohd Redzuan di Dewan Rakyat memberitahu, saiz itu adalah atas keperluan semasa malah ia bagi memastikan segala program dan projek kerajaan berjalan lancar dan beri impak yang bermakna.

“Jumlah pentadbiran PN tidaklah terlalu besar walaupun ada sedikit penambahan berbanding pentadbiran PH ini.

“PH mempunyai 28 menteri, PN mempunyai 32 menteri. Lebih empat sahaja, timbalan menteri semasa PH adalah 27 dan PN 37 timbalan menteri.

“Tapi kementerian telah bertambah iaitu dahulu kita ada 25 kementerian dan hari ini kita (PN) ada 27 kementerian,” katanya ketika sesi bahas Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Bangun mencalah dalam sesi bahas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (Amanah) yang mendakwa jawapan yang diberikan Mohd Redzuan mengelirukan.

Khalid berkata, jumlah ahli Kabinet yang besar itu adalah untuk mendapatkan sokongan ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bila kita lihat dari segi angka pun sudah jelas di mana dalam suasana Covid-19 di mana kebanyakan kementerian itu tidak dapat menjalankan program yang seperti mana dalam suasana biasa tiba-tiba jumlah menteri dan kementerian ditambah. Ianya amat memalukan,” bidas Khalid.

Mohd Redzuan kemudiannya menjelaskan jumlah saiz pentadbiran itu adalah mengikut kehendak yang telah dirumuskan untuk mengutus tadbir kerajaan PN.

“Kita tidak mempertikaikan seorang menteri wanita boleh membuat kerja tiga orang menteri. Itu adalah cara PN untuk menambahbaik pengurusan dan pentadbiran negara,” katanya lagi.

Khalid bingkas bangun dengan berkata; “Ini untuk beli kesetiaan”.

Justeru itu, Mohd Redzuan menggesa agar Khalid tidak terus mengelirukan Dewan Rakyat dengan tuduhan seumpama itu.

“Ini cuma andaian daripada Shah Alam (Khalid), tidak perlu mengelirukan rakyat. Rakyat sudah jelas dan tahu bahawa 27 menteri, tidak perlu lagi kita nak putar belit fakta dengan menyatakan kita kelirukan rakyat.

“Kita kaji segala skop dari segi tugas-tugas untuk kita tambah baik dan beri impak yang lebih,” jelas Mohd Redzuan lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. boleh tambah seratus lagi kementerian supaya ringan beban negara. sedikit sama dijinjeng banyak sama dilimbang. daripada mencuri sendiri masuk akaun lebih baik berbahagi dengan ramai ahli boleh sama2 merasa

Comments are closed.