KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang menyediakan insentif sebanyak RM50 juta bagi industri sawit berupaya meningkatkan kemampanan dan daya saing industri itu.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, daripada peruntukan tersebut, sebanyak RM20 juta diperuntukan bagi pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) khususnya pekebun kecil kerana kosnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Menurut beliau, peruntukan ini adalah untuk perbelanjaan operasi yang merangkumi emolumen pegawai MPOB yang terbabit secara langsung dalam pensijilan MSPO pekebun kecil sawit persendirian.
“Kalau dikira kita tak cukup. MSPO ini belanja pengurusan kita memerlukan RM30 juta. Tetapi kita berpendapat jumlah yang diberikan adalah berpatutan buat sementara ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Bakinya sebanyak RM30 juta lagi untuk penyediaan geran padanan dalam mekanisasi dan automasi menyedia insentif kepada pemain industri untuk melaksanakan mekanisasi bagi kecekapan operasi ladang.
Pensijilan MSPO yang dilancarkan pada tahun 2015 merupakan inisiatif nasional ke arah penjenamaan minyak sawit yang dihasilkan secara lestari dan selamat untuk dimakan.
Ia bertujuan mengurangkan kesan sosial industri dan alam sekitar serta membantu pekebun kecil persendirian untuk memperoleh sijil yang memperakukan minyak sawit untuk pasaran global.
Pensijilan MSPO akan memastikan industri sawit negara memenuhi syarat kemampanan antarabangsa yang merangkumi keseluruhan rantaian bekalan dari penanam hingga pengilang, peniaga dan peruncit.
Skim ini menyediakan prinsip umum untuk pengeluaran minyak sawit mampan yang meliputi prinsip 3P – People, Planet, Profit. Oleh itu, pengeluaran minyak sawit mampan tidak melibatkan dasar lain seperti penebangan hutan, penanaman di tanah gambut dan eksploitasi pekerja.
Pensijilan mampan yang melibatkan Amalan Pertanian Baik dan pemuliharaan alam sekitar akan memastikan produktiviti yang tinggi, hasil sawit yang berkualiti, akses yang lebih besar ke pasaran antarabangsa yang seterusnya akan menyumbang kepada pendapatan yang lebih tinggi terutama kepada pekebun kecil.
Pensijilan MSPO mula dilaksanakan secara mandatori pada 1 Januari 2020 di seluruh rantaian bekalan minyak sawit. Namun, bagi pekebun kecil, ada kekangan yang harus dipertimbangkan terutama kemampuan untuk melaksanakan syarat-syarat MSPO dalam operasi harian mereka
Oleh itu, moratorium selama enam bulan telah diberikan kepada pekebun kecil untuk pelaksanaan pensijilan MSPO secara mandatori.
Menurut beliau, MPOB sedang meningkatkan usaha untuk memastikan pekebun kecil dipersijilkan dengan MSPO.
Sehingga 28 November, seluas 5.204 juta hektar atau 88.21 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO.
Sejumlah 431 kilang kelapa sawit atau 95.35 peratus daripada 452 kilang kelapa sawit juga telah mendapat sijil MSPO.
Berdasarkan maklumat dalam aplikasi MSPO Trace, kawasan tanaman sawit seluas 309,036.39 hektar (31.33%) yang diusahakan pekebun kecil sawit persendirian telah dipersijilkan MSPO, manakala kawasan tanaman sawit seluas 671.583.90 hektar (98.54%) yang diusahakan pekebun kecil tersusun (pekebun kecil yang diuruskan oleh agensi seperti FELDA, FELCRA, RISDA, dll.) telah memperoleh sijil MSPO.
Kesemua 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah memperoleh sijil MSPO yang melibatkan penyertaan 79,623 pekebun kecil bebas tanaman sawit berjumlah 243,515 hektar.
SPOC ditubuhkan oleh MPOB dan kerajaan untuk memudahkan penyertaan pekebun kecil persendirian bagi persediaan Pensijilan MSPO kebun sawit secara berkelompok.
Bagi pekebun kecil persendirian, lebih daripada 150,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara belum mendaftar untuk mendapatkan sijil MSPO.
“Oleh itu, kami menggesa pekebun kecil bebas ini untuk tampil dan mendaftar dengan MPOB untuk memulakan proses pensijilan MSPO sebelum akhir Disember 2020,” tambahnya.
Pekebun kecil yang gagal mendaftar untuk mendapatkan sijil MSPO sebelum 1 Januari 2021 akan menerima surat amaran dan tindakan penguatkuasaan selanjutnya termasuk pembatalan lesen akan dikenakan. – MalaysiaGazette