Home Dunia Syarikat Singapura hasilkan kit saringan PCR Covid-19 pantas

Syarikat Singapura hasilkan kit saringan PCR Covid-19 pantas

Kit Quiz PCR Biochip yang boleh menghasilkan keputusan saringan Covid-19 sepantas lima minit. foto Agensi

SINGAPURA – Syarikat teknologi perubatan tempatan, Cell ID telah mereka kit ujan PCR yang boleh mengesahkan sama ada seseorang itu telah dijangkiti Covid-19 atau tidak dalam tempoh lima minit.

Menurut Ketua Pegawai Teknologinya, Xander Sim, petugas yang mengendalikan kit saringan tersebut tidak perlu menjalani latihan khusus dan sampel juga tidak perlu dihantar ke makmal untuk diuji.

Ujian swab itu dilakukan menerusi aplikasi pada komputer riba dan petugas hanya perlu menjalani latihan kurang daripada dua jam untuk mengendalikan aplikasi tersebut.

Bagaimanapun, petugas mestilah mahir dalam mengambil sampel swab.

“Dengan cara ini, penumpang-penumpang di lapangan terbang hanya perlu ditahan sekejap sahaja sebelum keputusan saringan keluar,” katanya dalam satu sidang media secara maya untuk mengumumkan kit saringan yang dinamakan Quiz PCR Biochip itu.

Ujian PCR merupakan standard emas bagi semua ujian saringan Covid-19.

Bagaimanapun, ia memerlukan makmal berkemajuan tinggi dan petugas terlatih untuk menjalankan ujian menyebabkan keputusan saringan kadangkala mengambil masa beberapa hari.

Selain itu, cecair reagen juga perlu sentiasa diletakkan di dalam peti sejuk.

Tambah Sim, kit PCR Cell ID itu boleh mengesahkan kes positif dalam tempoh lima minit manakala bagi kes negatif, tempoh yang diperlukan adalah kurang sejam.

Ujian tersebut mengambil sedikit masa adalah untuk memastikan tiada keputusan negatif yang palsu dihasilkan.

“Matlamat kami adalah untuk membangunkan satu peranti yang tepat dan tidak berkompromi dengan keputusan saringan namun ia haruslah dijual pada harga yang berpatutan di mana rakyat dunia ketiga juga mampu menggunakannya,” katanya.

Kit tersebut mempunyai tahap sensitiviti terhadap Covid-19 sebanyak 97 peratus hingga 100 peratus.

Ini adalah setara dengan kit PCR biasa dan pastinya lebih bagus berbanding kit ujian pantas antigen yang kurang tepat dan sensitif.- Agensi