RAWANG – Empat lagi bengkel jentera berat dan kilang yang didirikan atas tanah kerajaan negeri atau rizab lembangan Sungai Selangor akan diambil tindakan perobohan dalam masa terdekat sekiranya pemilik enggan mengosongkan tapak premis berkenaan.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han, notis telah dikeluarkan terhadap premis-premis yang berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
“Saya dimaklumkan oleh MPS bahawa beberapa notis telah dikeluarkan kepada kilang yang didirikan tanpa kebenaran berhampiran sungai dan tindakan perobohan akan diambil dalam masa satu atau dua minggu lagi sekiranya pemilik ingkar notis.
“Kita juga akan menyita kesemua jentera-jentera berat itu sementara Pejabat Tanah dan Daerah Gombak boleh bawa mereka (pemilik premis) ke mahkamah untuk tindakan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di Stor SB Geoteknik, Taman Garing, Rawang hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd. Noor.
Mengulas lanjut, Sze Han berkata, bengkel jentera berat yang dirobohkan menerusi operasi bersepadu hari ini dianggarkan telah beroperasi hampir 10 tahun dan berada pada jarak kira-kira 20 meter dari Sungai Garing dan Sungai Rawang.
Tambah beliau, dua notis telah dikeluarkan kepada pemilik bengkel sejak September lalu dan selepas tamat tempoh masih tiada pengosongan dilakukan maka tindakan penguatkuasaan dibuat hari ini.
Jelasnya lagi, kesemua bangunan, bengkel dan juga kilang yang didapati beroperasi di atas tanah kerajaan negeri secara haram akan diambil tindakan manakala premis yang telah dirobohkan akan terus berada di bawah pemantauan.
Sementara itu, Sze Han berkata, kerajaan negeri sedang meneliti dan terdapat keperluan untuk mencari satu lokasi yang lebih strategik bagi mengumpulkan bengkel-bengkel jentera berat.
“Di kawasan pentadbiran MPS dan Hulu Selangor memang banyak lokasi yang dijadikan bengkel jentera berat jadi saya rasa memang ada keperluan untuk cari tapak perindustrian yang sesuai untuk menempatkan bengkel-bengkel ini.
“Kita perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak pemaju kerana memang banyak kilang seperti ini di sini namun ia masih dalam perancangan,” ujarnya.
Pada 24 November lalu, operasi sama yang oleh diketuai Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dengan kerjasama MPS telah merobohkan struktur dua bengkel haram di Kampung Dato Lee Kim Sai, Rawang. – MlaaysiaGazette