Home Nasional Melaka Gateway: Sanggupkah kerajaan negeri hilang berbilion ringgit?

Melaka Gateway: Sanggupkah kerajaan negeri hilang berbilion ringgit?

Replika projek Melaka Gateway di KAJ Development Sdn. Bhd., Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2020.

AYER KEROH – Mampukah negara melepaskan sebuah projek yang sedang dibangunkan bernilai berbilion ringgit dan menjana peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi, khususnya ketika persekitaran ekonomi dunia yang tidak memberangsangkan.

Pemajunya, KAJ Developement (KAJD) yang telah melabur sebanyak RM700 juta bukannya dimiliki China. Namun projek yang telah siap 40 peratus itu tidak diteruskan atas arahan kerajaan negeri Melaka.

Pelbagai alasan diberikan dua minggu lalu menerusi notis penamatan perjanjian tambak laut kerana perjanjian telaah tamat tempoh berikutan syarikat gagal menyiapkan projek pada waktu yang ditetapkan.

Notis penamatan perjanjian tambak laut dari kerajaan negeri Melaka di Taman Pulau Melaka, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2020.

Pembangunan Melaka Gateway yang bermula pada 2014 dijangka siap pada 2025 mampu menyediakan antara 45,000 hingga 46,000 peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KAJD, Datuk Michelle Ong, apa yang dilakukan syarikatnya bukan mengenai wang tetapi ia merupakan soal negara. dan generasi akan datang. 

Reaksi sedih Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KAJ Development Sdn. Bhd. (Melaka Gateway), Datuk Michelle Ong bercakap selepas projek mega, Melaka Gateway dibatalkan oleh kerajaan negeri Melaka baru-baru ini di KAJ Development Sdn. Bhd., Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2020.

Katanya, beliau mahu meninggalkan legasi untuk negara ini dan penduduknya dengan membuktikan bahawa rakyat Malaysia perlu berana mempunyai impian.

“Apa salah kami? Mengapa buat seperti ini?” soalnya.

Menurut Ong, mengikut notis yang diterima, syarikat itu sepatutnya menyerahkan projek tersebut kepada kerajaan negeri semalam.

Tambahnya, mengapa kerajaan negeri tidak berunding dengan syarikat itu terlebih dahulu yang mana beliau masih tertungu-tunggu apakah yang boleh dilakukan daripada membiarkan projek tersebut terabai.

“Sebelum ini, kita telah kemukakan empat permohonan memanjangkan tempoh penyiapan dengan alasan (penularan) Covid-19 yang tidak ada sesiapa jangka, semua sektor terkesan dengan pandemik termasuklah syarikat kami.

“Semua fakta telah kita kepilkan sekali untuk ‘toleransi’ tetapi semuanya dipandang sepi,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini sambil menambah pihaknya juga pernah meminta campur tangan kerajaan persekutuan dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri..

Ong berkata, sejak notis pada 16 November lalu, ramai pelabur yang terkejut dengan keputusan kerajaan negeri itu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KAJ Development Sdn. Bhd. (Melaka Gateway), Datuk Michelle Ong (tengah) selepas projek mega, Melaka Gateway dibatalkan oleh kerajaan negeri Melaka baru-baru ini di KAJ Development Sdn. Bhd., Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2020.

Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial syarikat swasta seluas 246.4 hektar yang terdiri daripada tiga pulau baharu dengan dua daripadanya adalah buatan manusia.

Ong berkata, syarikatnya menghabiskan hampir satu dekad untuk merancang dan membangunkan projek itu yang membabitkan pembinaan sebuah pelabuhan laut dalam, terminal kapal persiaran dan hartanah komersial serta kediaman.

Antara kertas-kertas cadangan penambakan laut selepas projek mega, Melaka Gateway dibatalkan oleh kerajaan negeri Melaka baru-baru ini di KAJ Development Sdn. Bhd., Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2020.

Wanita yang berasal dari Kuala Pilah itu mendedahkan projek tersebut akan memberi kesan limpahan ekonomi bernilai sehingga RM1.2 bilion dan pihaknya sudah memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk melengkapkan kajian yang dilaksanakan pakar antarabangsa.

“Projek ini lebih daripada berpotensi untuk menjadikan Melaka antara penyumbang utama ekonomi, setaraf atau lebih maju berbanding Selangor dan Pulau Pinang.

“Mungkin sebelum ini ramai pihak berkepentingan tidak nampak atau sedar mahupun telah memanfaatkan lokasi strategik Melaka di laluan perkapalan dan perdagangan utama antara Asia dan Timur Tengah,” katanya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KAJ Development Sdn. Bhd. (Melaka Gateway), Datuk Michelle Ong (dua kiri) ketika melawat tapak projek Melaka Gateway di Taman Pulau Melaka, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2020.

Melaka Gateway telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2014 merangkumi 12 presint, antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar, taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette difahamkan melalui laporan-laporan berita di akhbar Cina, terdapat kemungkinan projek Melaka Gateway akan diteruskan menggunakan ‘pemaju’ lain namun ia belum dapat disahkan lagi.

Sabtu lepas, media melaporkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sebarang pertanyaan mengenai Melaka Gateway  boleh diajukan kepada peguam yang dilantik. -MalaysiaGazette

Pintu gerbang projek Melaka Gateway ditutup selepas projek mega, Melaka Gateway dibatalkan oleh kerajaan negeri Melaka di Taman Pulau Melaka, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2020.