Home Ekonomi Projek pembangunan 2021 dipercepatkan – Mustapa

Projek pembangunan 2021 dipercepatkan – Mustapa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

KUALA LUMPUR- Semua kementerian diarahkan untuk mengemukakan perancangan pelaksanaan projek pembangunan untuk tahun 2021 kepada pejabat Ketua Setiausaha Negara sebelum 31 Disember ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini bagi memastikan semua projek yang dirancang untuk rakyat dapat dilaksanakan segera.

Jelasnya, perancangan yang perlu dikemukakan oleh semua kementerian itu meliputi jangkaan tarikh untuk panggilan tender, tarikh bermula pelaksanaan dan mereka juga diminta untuk mengenal pasti masalah yang mungkin akan timbul.

“Mesyuarat Pelan Perancangan Pelaksanaan Projek Pembangunan bagi Tahun 2021 yang dipengerusikan bersama oleh saya dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali telah diadakan pada hari ini.

“Mesyuarat ini bagi mengenal pasti kaedah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek sambungan dan memastikan projek-projek baharu dapat segera dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Kerajaan mendapati langkah-langkah yang diambil untuk mempercepatkan perbelanjaan peruntukan pembangunan melalui kelonggaran beberapa peraturan ketika Perintah Kawalan Pergerakan memberikan kesan positif kepada pelaksanaan projek.

“Mesyuarat hari ini telah mengenal pasti beberapa langkah penambahbaikan dan kelonggaran prosedur tersebut yang akan diteruskan pada tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mustapa, antara langkah penambahbaikan dan kelonggaran prosedur yang telah dilaksanakan pada tahun ini adalah:

  • Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan selewat-lewatnya 31 Ogos 2020.
  • Memantau dengan rapi prestasi perbelanjaan pembangunan melalui sesi libat urus Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan kementerian.
  • Jabatan Kerja Raya melaksanakan kaedah pra-kelayakan dengan memendekkan tempoh SST dari 6 bulan ke 3 bulan.
  • Melonggarkan peraturan berkaitan perolehan kerajaan.
  • Mewujudkan mekanisme pemantauan khusus.
  • Jawatankuasa Pemudahcara dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi menyelesaikan isu pelaksanaan projek. -MalaysiaGazette