Home Politik UMNO mesti dominan, kalau tidak game over – Shahril

UMNO mesti dominan, kalau tidak game over – Shahril

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – UMNO merupakan parti yang mesti menjadi dominan meskipun ada pemimpin parti itu sendiri yang berpendirian di sebaliknya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, hakikat kedudukan sebenar parti itu perlu diterima.

“Bagi UMNO, jelas, apa pun formula akhir menjelang PRU-15, UMNO mesti dominan. Jika tidak terima hakikat itu, game over dan no deal,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Jelasnya, tidak ada pemimpin UMNO yang boleh menerima parti tersebut menjadi tidak pentingĀ  sama ada yang menyokong penyatuan UMNO dengan parti lain atau yang menyokong keharmonian sesama parti.

Bagaimanapun ujarnya ia bukan bermaksud UMNO mendabik dada sebaliknya berpaksikan kepada hakikat sebenar bahawa parti berkenaan memiliki kekuatan asas paling besar.

“UMNO sempurna? Tidak. UMNO dah selesai semua isu? Tidak.

“UMNO dah boleh mendabik dada bahawa rakyat atas pagar pasti sokong kami? Belum. Banyak lagi kerja dan pendekatan yang perlu dibuat.

“UMNO perasan boleh menang pilihanraya hanya dengan sokongan ahli? Tidak. UMNO angkuh bahawa tak perlu orang lain? Tidak.

“UMNO menafikan dinamika politik memerlukan pertimbangan formula-formula luar kelaziman seperti yang berlaku hari ini? Tidak,” tambahnya.

Justeru meskipun UMNO pada hari ini di bawah Perikatan Nasional sebagai sebahagian kerajaan namun isu dominan tetap akan timbul.

“Jadi, meskipun kita hormat YAB Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan institusinya, meskipun kita membantu dalam kerajaan hari ini, isu dominan akan timbul, tetap timbul dan tiada istilah apologetik dalam hal ini. UMNO mesti dominan,” tambahnya.

Semalam, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Saiduddin Abdullah berkata, tidak timbul isu parti mana yang lebih dominan sekiranya parti itu, UMNO dan Pas membentuk gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Dalam pada itu Shahril menyeru mana-mana pihak menghentikan kenyataan yang boleh menyusahkan diri dengan mengulas soal ini sebaliknya menghargai antara satu sama lain sebagai rakan politik.

“Jika ada pihak luar UMNO yang berkehendakkan kerjasama yang realistik, selain menerima hakikat tertentu, barangkali boleh hentikan kenyataan-kenyataan yang menyusahkan diri sendiri.

“Contoh, jika mahu mengulas soal dapat dua Perdana Menteri meskipun setahun jagung, mungkin ucapkan Alhamdulillah dan terima kasih kepada kawan, bukan mendabik dada menyakat orang,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.