KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju projek penambakan laut bernilai RM43 bilion Melaka Gateway, KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) bukan syarikat negara China sebaliknya 100 peratus milik rakyat tempatan.
Pengasasnya, Datuk Michelle Ong yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, ada pihak sengaja cuba memainkan isu kononnya KAJD sebuah syarikat negara China.
“Itu tidak benar sama sekali, saya anak tempatan yang lahir dan membesar di sebuah kampung kecil Kuala Pilah. Ayah saya seorang jurugambar majlis-majlis perkahwinan manakala ibu tukang jahit.
“Kami enam adik beradik dibesarkan dalam keadaan susah dengan semua berhimpit dalam satu bilik, bagaimanapun cita-cita serta semangat saya serta keluarga untuk keluar daripada kepompong sangat tebal.
“Semangat untuk terus berjaya dalam hidup menjadi pemangkin semangat kami sekeluarga sehinggalah kami berjaya membina empayar syarikat menjana pendapatan berbilion ringgit selama empat dekad dengan pengeksportan ke negara-negara luar seperti Australia, Asia, Amerika Selatan dan Timur Tengah.
“Dalam tempoh ini kami telah berjaya mencipta nama cukup baik tidak kira dalam negara mahupun persada antarabangsa, dari situ jugalah hadir satu impian untuk membina Melaka Gateway.
“Jadi memang tidak timbul apa-apa isu ianya syarikat dari China sebaliknya Melaka Gateway ini diasaskan dan dibina oleh anak tempatan,” kata wanita berusia 61 tahun itu kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Melaka Gateway merupakan projek pembangunan komersial yang dimajukan KAJD seluas 246.4 hektar yang terdiri daripada tiga pulau baharu dengan dua daripadanya buatan manusia.
Ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 dan setakat ini, sebanyak RM700 juta dibelanjakan sejak awal pembangunannya pada tahun 2014.
Bagaimanapun, pada 3 Oktober lalu, kerajaan Melaka telah menamatkan perjanjian penambakan laut projek itu bersama KAJD.
Malah Michelle mendedahkan, hampir 98 peratus daripada pekerja syarikatnya sehingga kini adalah bumiputera.
“Kita tidak ada pekerja asing, semua yang kita guna adalah anak-anak tempatan. Peluang pekerjaan di syarikat ini adalah untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.
Kata Michelle, syarikatnya tidak memohon apa-apa peruntukan mahupun dana bagi membantu merealisasikan projek mega ini sebaliknya berjaya membawa masuk pelabur asing yang mempunyai nama-nama besar.
“Kita juga ada pelabur tempatan, kita tidak meminta apa-apa dana atau bantuan untuk menjayakan Melaka Gateway, semuanya dari kita sendiri. Kita juga ingin tunjukan kepada dunia, Malaysia Boleh.
“Saya mahu meninggalkan legasi untuk negara ini dan rakyatnya untuk membuktikan bahawa sebagai rakyat Malaysia kita harus berani meletakkan impian yang bukan sekadar impian,” tegasnya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
KAJD tidak akan sesekali putus asa dengan projek Melaka Gateway