Home Sukan Liga Juara: Real berisiko ‘pulang’ awal

Liga Juara: Real berisiko ‘pulang’ awal

Zidane mengakui pasukannya kini di ambang tersingkir awal dan mesti menang perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan ke-16 Selasa depan.

UKRAINE – Peluang Real Madrid untuk mara ke pusingan ke-16 Liga Juara-Juara Eropah kini terumbang-ambing apabila dimalukan 2-0 oleh pasukan Liga Ukraine, Shakhtar Donetsk.

Pada aksi peringkat kumpulan awal pagi tadi, pasukan Los Blancos kendalian bekas pemainnya, Zinedine Zidane turun untuk membalas dendam kekalahan 3-2 secara mengejut di Santiago Bernabeu pada pusingan awal sebelum Oktober lalu.

Bagaimanapun impian itu berkecai dan bertukar tragedi selepas dilanyak sekali lagi dan kini berada dalam kedudukan bahaya untuk menggulung tikar lebih awal pada kempen kali ini.

Mereka wajib menang dalam perlawanan terakhir minggu hadapan.

Pada perlawanan itu, Shakhtar mengganas ke atas pasukan pelawat dan juga gergasi Eropah itu tanpa belas kasihan.

Real Madrid yang dijangka membuka gol awal terhadap tuan rumah bagaimanapun buntu untuk merobek kubu pertahanan bagi mencari gol.

Selepas kedua-dua pasukannya terikat seri tanpa jaringan Shakhtar akhirnya berjaya memecahkan ego pertahanan Real apabila Dentinho membuka gol pada minit ke-57.

Real bagaimanapun gagal menemui gol penyamaan selepas itu.

Dengan perlawanan berbaki lapan minit lagi untuk wisel penamat aksi 90 minit, Shaktar sekali lagi mengejutkan pelawat dengan gol kedua pada minit ke-82 menerusi Solomon.

Real Madrid dalam kedudukan bahaya pulang lebih awal dari kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini selepas kalah mengejut kepada Shaktar Donetsk awal pagi tadi.Sumber BBC Sport

Dengan keputusan itu, Borussia Monchengladbach mengungguli carta peringkat kumpulan dengan lapan mata manakala Shaktar melonjak ke tangga kedua dengan tujuh mata.

Real pula pada tangga ketiga dengan tujuh mata dan kini wajib menang perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan ke-16.

Manakala Real juga berdepan saingan sengit dari pasukan tercorot dalam kumpulan B, Inter Milan apabila kelab Serie A Itali itu mencerahkan peluang ke pusingan ke-16 dengan menewaskan Borussia Monchengladbach 3-2 dengan dua gol hadir menerusi Romelu Lukaku.

Inter kini memiliki lima mata walaupun menduduki tempat terakhir dalam kumpulan B sekaligus menambah risiko terhadap Real Madrid untuk balik kampung minggu depan.

Zidane menegaskan, dia tidak akan bertanggungjawab terhadap kekalahan itu dan tidak akan berundur sebagai pengurus pasukan itu.

Pasukan juara 13 kali kejohanan itu masih memegang harapan boleh melayakkan diri ke pusingan seterusnya dan mesti menewaskan Borussia Monchengladbach Selasa depan.

“Saya tidak akan berundur sama sekali. Kita sentiasa berdepan situasi yang sukar tetapi perlu meneruskan usaha itu tanpa berputus asa.

“Kami mesti mengalahkan Borussia Monchengladbach minggu hadapan untuk mara ke pusingan ke-16 dan saya yakin dengan anak buah saya terhadap peluang terakhir itu yang sukar,” katanya.-MalaysiaGazette