KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan mengadakan pertemuan dengan dengan pihak pengurusan Zoo Negara esok bagi membincangkan mekanisme pengukuhan operasi khususnya dalam aspek tadbir urus.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pertemuan berkenaan demi memastikan Zoo Negara menjadi lebih berdaya maju selain kebajikan hidupan liar terpelihara.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan kerajaan akan melaksanakan penghantaran pulang anak Giant Panda iaitu Yi Yi ke China dengan segera selepas penetapan tarikh yang dipersetujui oleh Republik Rakyat China (RRC).
Beliau berkata, penghantaran Yi Yi sepatutnya dilakukan April lalu namun tertunda akibat Covid-19 yang mengakibatkan pusat konservasi di RRC ditutup.
“Pihak kerajaan mengambil maklum desakan orang ramai serta persatuan supaya kerajaan memulangkan semula Giant Panda ke negara asalnya. Sebarang keputusan untuk memulangkan semula panda ini mestilah mengambil kira ikatan perjanjian yang telah ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan RRC.
“Perjanjian Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan RRC melalui China Wildlife Conservation Association (CWCA) dimeterai untuk tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2014 iaitu tahun ketibaan pasangan Giant Panda di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bekerjasama dengan Zoo Negara dalam Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda pada tahun 2013 untuk menempatkan pasangan Giant Panda bagi meningkatkan kehadiran pengunjung di Zoo Negara.
Kerajaan pada asalnya merancang untuk menempatkan pasangan Giant Panda di Putrajaya namun mempertimbangkan permintaan Malaysian Zoological Society (MZS) untuk menempatkannya di Zoo Negara setelah mengambilkira jalinan kerjasama strategik antara kerajaan dan badan bukan kerajaan, kesesuaian lokasi, bilangan pengunjung yang ramai di Zoo Negara serta kepakaran Zoo Negara dalam pengurusan hidupan liar selama lebih 50 tahun.
Melalui perjanjian yang ditandatangani antara Jabatan Perhilitan dengan Malaysian Zoological Society (MZS) pada 22 Jun 2013, kerajaan bertanggungjawab dalam membangunkan Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) dan membiayai yuran
konservasi tahunan Giant Panda.
Manakala MZS pula bertanggungjawab membiayai perlindungan insuran, yuran anak panda, kos penghantaran pulang anak panda serta kos operasi pengurusannya. – MalaysiaGazette