Home Sukan “Saya nampak maut dekati saya” – Grosjean

“Saya nampak maut dekati saya” – Grosjean

Grosjean terselamat dalam kebakaran jentera F1 pasukan Haas Ahad lalu dengan melecur pada kedua-dua tangan.

MANAMA – Pelumba Formula 1, Romain Grosjean yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan jentera Haas di litar perlumbaan F1 GP Bahrain pada Ahad lalu menyifatkan apa yang berlaku satu pengalaman menghadapi maut.

Saat-saat keretanya terlanggar penghadang di litar pada pusingan pembukaan itu dan terbakar mengingatkannya insiden jentera terbakar yang nyaris membunuh bekas juara dunia tiga kali dari Austria, Niki Laudia.

Katanya, mendiang pernah terlibat kemalangan ngeri itu pada tahun 1976 apabila jenteranya terbakar atas litar perlumbaan GP Jerman namun berjaya menyelamatkan diri dengan kecederaan melecur pada anggota badan sekaligus bersara dari karier sebagai pelumba F1 dan meninggal dunia tahun lalu.

“Selepas kereta saya terbakar, saya cuba melepaskan diri keluar dari jentera itu demi anak-anak dan isteri saya tercinta.

“Saya dapat melihat maut menghampiri saya pada saat itu. Visor saya bertukar warna oren dengan badan dikelilingi api. Tiada pilihan lain sebelum saya berjaya keluar dari jentera bakar itu segera.

“Saat itu kemalangan serupa yang pernah menimpa Niki Laudia terlintas dalam minda saya dan saya tidak mahu terima nasib sebegitu,” katanya bapa kepada tiga beranak berusia 34 tahun itu.

Saat-saat cemas Grosjean keluar dari jenteranya yang terbakar kuat akibat perlanggaran kuat di aksi pembukaan GP Bahrain Ahad lalu.

Grosjean melecur pada kedua-dua tangan dan sedang dirawat di Hospital Bahrain manakala keadaannya sihat.

Dia sempat berjenaka membandingkan tangan yang dibalut tebal sebagai ‘tangan Mickey Mouse’.

Menurutnya, terselamat daripada kemalangan itu ibarat ‘kelahiran kedua’ untuknya dan lebam itu akan kekal dalam memorinya.

Grosjean diusung keluar untuk rawatan hospital dari lokasi tragedi jentera Haas terbakar di atas Litar dalam GP Bahrain Ahad lalu.Foto:Getty Images

Dia dibenarkan pulang pada Rabu dan akan meninggalkan dunia F1 musim hadapan selepas pasukan Haas sudah melantik dua pelumba baharu.

Menjelang perlumbaan GP Sakhir Ahad ini, dia akan digantikan dengan pelumba simpanan, Pietro Fittipaldi.-MalaysiaGazette