KUALA LUMPUR – Individu yang sudah lama tidak mencarum dan suri rumah antara ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak membuat pengeluaran i-Sinar di bawah Kategori 1.
Turut termasuk dalam kategori tersebut ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, hilang pekerjaan atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
KWSP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kriteria bagi Kategori 1 adalah:
1. Ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan; ATAU
2. Ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas selepas 1 Mac 2020.
Bagi kategori ini tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.
Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021.
Semua ahli KWSP boleh keluarkan Akaun 1
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kewangan mengumumkan kira-kira 8 juta ahli KWSP layak mengeluarkan caruman Akaun 1 di bawah program i-Sinar.
Kemudahan pengeluaran bertujuan membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 itu melibatkan peruntukan sebanyak RM70 bilion. – MalaysiaGazette