Home Nasional 3,141 kenderaan cuba nasib rentas daerah diarah berpatah balik

3,141 kenderaan cuba nasib rentas daerah diarah berpatah balik

Gambar hiasan

SHAH ALAM –  Sebanyak 3,141 kenderaan diarah berpatah balik dalam sekatan jalan raya di sempadan negeri Selangor kerana cuba merentas keluar tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Jurucakap khas Op Covid-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, tindakan itu sepanjang tempoh dari  26 November hingga semalam.

Hasil pemeriksaan polis di sekatan jalan raya di sempadan mendapati pengguna jalan raya terbabit gagal mempamerkan sebarang surat kebenaran permohonan merentas negeri seperti yang disyarat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata demikian pada sidang media khas penguatkuasaan PKPB Covid-19 di Selangor.

Tambah beliau, dalam tempoh seminggu yang sama, pihak polis telah menerima sebanyak 54,711 permohonan merentas negeri ini.

“Bagaimanapun sebanyak 1,206 permohonan ditolak kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan.

“Kita tahu hanya perkara kecemasan atau tujuan tak dapat dielakkan, dibenarkan untuk merentas negeri.

“Tetapi dalam kebanyakan permohonan yang ditolak itu mereka memberi alasan remeh iaitu majoritinya memohon untuk bercuti yang mana tidak boeh dibenarkan langsung,” tegasnya.

Tambahnya, sepanjang tempoh seminggu ini, sebanyak 489 pasukan task force digerakkan dengan kekuatan 2,263 orang anggota pasukan bersepadu termasuk PDRM dan ATM.

Menurutnya, polis menjalankan sebanyak 47,594 pemeriksaan antaranya membabitkan premis restoran, kilang, pejabat kerajaan, pasaraya, pasar besar,pasar awam, 133 tapak binaan, 2,404 buah rumah ibadat di negeri ini.

Sebanyak 588 kompaun dikeluarkan dalam tempoh tersebut.

Jumlah itu termasuk 244 kompaun atas kesalahan tiada penjarakan sosial, 135 kompaun tidak memakai pelitup muka, tidak mencatatkan butiran masuk premis sebanyak 72 kompaun, tiada dokumen merentas negeri 64 kompaun, 24 kompaun premis beroperasi semasa PKPB.

“Seramai 26 orang ditangkap akibat kesalahan PKPB melibatkan  17 lelaki dan enam wanita asing serta tiga lelaki tempatan.-MalaysiaGazette