KUALA LUMPUR – Negara kekal merekodkan kes harian baharu sebanyak empat digit iaitu 1,075 kes, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 69,095 kes dengan jumlah kumulatif kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 10,802 kes.
Daripada jumlah itu, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,072 kes.
Sebanyak 508 kes, atau 47.3 peratus daripada jumlah kes harian, dilaporkan di negeri-negeri Lembah Klang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan 459 kes atau 90.4 peratus.
“Jumlah pelaporan kes harian kedua tertinggi pula dicatatkan oleh Sabah iaitu sebanyak 310 kes atau 28.8 peratus dan diikuti dengan Johor sebanyak 78 kes atau 7.3 peratus.
“Sebanyak 48 kes atau 4.5 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (41 kes), Kluster Tembok (3
kes), Kluster Matambai (3 kes) dan Kluster Bakti sebanyak satu kes,” katanya dalam kenyataan harian mengenai Covid-19 di sini hari ini.
Dr Noor Hisham menambah, terdapat 116 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 46 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Tambahnya, kes kematian turut melibatkan pertambahan 11 individu yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 376 kes atau 0.54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 948 kes.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 57,917 kes atau 83.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette