KUALA LUMPUR – Setiap tahun kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM18 juta bagi proses penghantaran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, penghantaran pulang PATI ini sukar pada pada tahun ini kerana negara-negara asal yang telah menutup pintu masuk masing-masing.
“Dalam tempoh penularan Covid-19 ini, negara-negara asal tahanan telah menutup pintu sempadan masing-masing bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
“Ini memberikan implikasi kepada kita untuk menghantar pulang tahanan kepada negara asal,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort-Bersatu).
Dalam pada itu, Ismail berkata, hampir 7,000 PATI telah diusir sepanjang pandemik Covid-19.
“Jumlah pengusiran yang dilaksanakan sepanjang negara menghadapi pandemik Codid-19 dari Jannuari hingga September ini berjumlah 6,859 orang melibatkan PATI Filipina dan Indonesia,” katanya lagi.
Menurutnya, kerajaan akan mengaktifkan semula Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing (JKPWAS) di Sabah bagi memastikan isu berkaitan pengurusan PATI dapat diuruskan segera.
“Susulan dengan peralihan kuasa, kerajaan bercadang untuk mengaktifkan semula penambahan struktur JKPWAS induk ini akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah dan di peringkat tekinikal pulak dipengeruskan oleh Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri,” katanya lagi.
Kedua-dua jawatankuasa ini akan dianggotai jabatan atau agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dengan pengurusan warga asing di Sabah.
Antaranya Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, PDRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – MalaysiaGazetee