Home Ekonomi Nilai seunit eksport naik 0.2 peratus, nilai seunit import susut 0.2 peratus

Nilai seunit eksport naik 0.2 peratus, nilai seunit import susut 0.2 peratus

Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport Malaysia tumbuh 0.2 peratus manakala indeks nilai seunit import susut 0.2 peratus bulan ke bulan, masing-masing pada Oktober 2020, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport menunjukkan pertumbuhan positif berikutan kenaikan indeks minyak dan lemak haiwan dan sayur-sayuran (+5.3 peratus), barang-barang keluaran kilang (+0.4 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.2 peratus)

Sementara itu, indeks volum eksport meningkat 2.2 peratus kepada 154.6 mata disebabkan peningkatan indeks bahan mentah tidak boleh dimakan (+11.6 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (+7.4 peratus) dan minyak dan lemak haiwan dan sayur-sayuran (+6.2 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan penyusutan 6.8 peratus kepada 144.6 mata,” katanya dan menurutnya bagi tahun ke tahun, indeks nilai seunit eksport jatuh 4.7 peratus pada Oktober manakala indeks volum eksport naik 5.2 peratus.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berdasarkan laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010-100) Jabatan Perangkaan bagi Oktober 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir mengaitkan kemerosotan indeks nilai seunit bagi bulan itu dengan kejatuhan indeks minyak galian (-4.2 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.2 peratus).

“Bagaimanapun, indeks volum import naik 3.2 peratus kepada 139.4 mata terutamanya disumbangkan kenaikan indeks minyak galian (+37.9 peratus), barang-barang keluaran kilang (+1.6 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.5 peratus),” katanya.

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Oktober 2020 jatuh 0.6 peratus kepada 134.6 mata, manakala berasaskan tahun ke tahun, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing menyusut 4.2 peratus dan 1.9 peratus.

Jabatan Perangkaan turut memaklumkan terma perdagangan (TOT) Malaysia pada Oktober 2020 mencatatkan pertumbuhan 0.4 peratus kepada 98.1 mata berbanding September 2020, manakala berasaskan tahun ke tahun, TOT bagi bulan itu masih mencatatkan penyusutan iaitu 0.5 peratus daripada 99.1 mata tahun lepas.- BERNAMA