Home Nasional PPR Wangsa Sari sesak ‘dihimpit’ kilang dan aktiviti industri

PPR Wangsa Sari sesak ‘dihimpit’ kilang dan aktiviti industri

Perumah Rakyat Wangsa Sari

KUALA LUMPUR – Sesak dan padat, itulah gambaran persekitaran kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari di Wangsa Maju di sini, yang dihuni lebih 270 keluarga apabila ‘dihimpit’ kilang kimia dan pusat servis kereta atas tanah rizab sungai serta tanah milik kerajaan.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat sebuah kilang memproses bahan kimia dibina di pinggir Sungai Bunus, terletak bersebelahan dengan PPR itu pada jarak kurang 50 meter sehingga menyentuh pagar kawasan perumahan.

Di bahagian hadapan kilang pula terdapat beberapa struktur separa kekal dan premis beroperasi  sebagai pusat servis kereta menjadikan jalan masuk ke perumahan itu sukar diakses kenderaan awam, termasuk ambulans atau jentera bomba jika berlaku kecemasan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR itu Mazlan Abdul Latif berkata operasi perindustrian itu menimbulkan rasa resah penduduk terhadap aspek keselamatan dan kesihatan mereka.

Mazlan yang mendiami PPR berkenaan lebih lapan tahun turut mendakwa situasi itu dialami sejak berpindah di situ.

“Kalau lihatkan aliran sungai di belakang kilang saya khuatir berlaku pencemaran, kita tidak tahu cara pihak kilang mengurus dan mengendali sisa daripada operasi mereka,” katanya.

Mazlan berkata penduduk juga bimbang insiden kebakaran yang pernah berlaku melibatkan premis pusat servis kereta empat tahun lepas akan berulang.

“Dulu kami ingat pusat servis kereta ini dibina di atas tanah milik mereka (pemilik), tetapi baru-baru ini kita lihat ada notis ditampal pihak berkuasa meminta pemilik mengosongkan premis itu atas kesalahan menceroboh tanah milik kerajaan.

“Kami di PPR sudah cukup tersepit dan terhimpit, tambah ‘dihimpit’ lagi dengan kilang-kilang haram ini,” katanya yang juga berasa khuatir terhadap jaminan sistem keselamatan kesemua struktur tersebut.

Mazlan berkata pihaknya sudah membuat aduan kepada beberapa pihak berkuasa termasuk Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa wakil telah datang meninjau namun sehingga kini masih belum ada jalan penyelesaian.

Sementara itu, penduduk Haniza Md Saat, 40, berkata aktiviti perniagaan barang lusuh membawa kepada longgokan besi buruk dibiarkan bersepah turut mencemarkan persekitaran dan kebersihan kawasan perumahan itu selain mengundang haiwan berbisa.

“Penduduk sering jumpa ular di sini. Besi-besi buruk juga dibiarkan merata-rata mencemarkan pemandangan dan kebersihan serta menjadikan kawasan lebih sempit,” katanya.

Tambahnya, jalan masuk ke perumahan yang sempit dan hanya boleh dilalui satu kenderaan dalam satu masa juga menambahkan kesesakan terutama pada waktu puncak, menyebabkan penduduk lambat ke tempat kerja.

Syafiq Mustafa, 22, berkata longgokan besi buruk dan sampah berpunca daripada aktiviti perindustrian itu juga dikhuatiri menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes yang membawa kepada demam denggi dan boleh membawa maut.

“Kes demam denggi di sini memang agak tinggi. Walaupun kita menjaga kebersihan PPR sebaik mungkin, kualiti persekitaran seperti ini kita tidak mampu kawal,” katanya.

Syafiq berkata treler dan kenderaan berat yang keluar masuk ke pusat servis kereta juga membawa kepada pencemaran bunyi dan debu yang menyumbang kepada masalah pernafasan terutama kepada golongan kanak-kanak, warga emas dan penghidap penyakit asma.

Sementara itu, Pensyarah Kimia Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Darfizzi Derawi berkata aktiviti industri melibatkan bahan kimia berhampiran kawasan perumahan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan manusia untuk jangka masa panjang termasuk penyakit kronik seperti kanser.

“Secara umumnya kilang kimia tidak berapa sesuai didirikan berhampiran kawasan perumahan.

“Sisa yang terhasil daripada kilang kimia sedikit sebanyak boleh memberikan kesan pencemaran terhadap air mahupun udara. Namun, tahap pendedahan terhadap risiko sama ada tinggi atau rendah bergantung kepada jenis bahan kimia terlibat serta pengelolaan pemilik,” katanya.

Menurut Darfizzi, penilaian impak alam sekitar (EIA) perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum membangunkan sesuatu projek industri terutama berhampiran dengan kawasan perumahan, supaya dapat mengawal risiko dan impak terhadap alam sekitar.

— BERNAMA