KUALA LUMPUR – Juara Liga Perdana Penang FC (PFC) serius untuk bersaing dalam Liga Super musim depan apabila mendapat sentuhan jurulatih dari Republik Czech, Tomas Trucha.
Perkembangan itu diumumkan pasukannya menerusi satu kenyataan di akaun rasmi Facebook pasukan itu hari ini.
Dalam kenyataan terbabit, PFC berjaya memintas sebuah pasukan dari Kenya yang turut mengintai khidmat jurulatih berusia 49 tahun itu.
“Memulakan karier sebagai jurulatih seawal usia 25 tahun, Trucha mempunyai pengalaman luas ketika menggalas tugas di Eropah sebelum menimba pengalaman baharu dengan beberapa pasukan di Afrika.
“Walaupun pada awalnya dikhabarkan akan bersama sebuah kelab di Kenya namun Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan Trucha sebagai cabaran baharu,” kata PFC.
Dalam perkembangan sama, jurulatih yang membawa skuad Harimau Kumbang ke Liga Super, Manzoor Azwira Abd Wahid tetap kekal bersama pasukan itu pada musim depan.
“Trucha akan dibantu oleh Manzoor yang akan terus bersama pasukan sebagai penolong ketua jurulatih.
“Kami percaya kombinasi dan pengalaman yang dimiliki mereka akan memberikan sesuatu yang positif kepada pasukan serta saingan pada musim hadapan,” katanya.
Sebagai rekod, Pulau Pinang menjuarai Liga Perdana musim ini selepas mengutip 26 mata menerusi lapan kemenangan dan dua keputusan seri. – MalaysiaGazette