KUALA LUMPUR – Susulan kegagalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dalam usul undi percaya semalam, beliau hari ini mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak, berkuat kuasa, hari ini.
Surat peletakkan jawatan Menteri Besar Perak itu dibuat selepas beliau diperkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh, Perak, kira-kira 3 petang tadi.
“Alhamdulillah pada jam 3.00 petang, 5 Disember 2020, saya telah diperkenankan untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Alhmarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Almarghfullah.
“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan di kesempatan berkenaan saya telah menyembahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
“Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan,” katanya dalam perutusan khasnya yang disiarkan secara langsung di Facebook rasminya, hari ini.
Semalam, Ahmad Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja gagal mendapat sokongan majoriti ADUN Perak dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan seorang ADUN dari Barisan Nasional (BN).
Dalam undian belah bahagi ketika permulaan sesi persidangan DUN itu pagi semalam, daripada 59 ADUN yang mengundi hanya 10 bersetuju manakala 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika mengumumkan keputusan itu berkata, usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal menepati syarat dan tidak melanggar peraturan DUN dengan 45 ADUN bersetuju, manakala sembilan tidak bersetuju.
Sebelum mengakhiri perkhidmatannya hari ini, Ahmad Faizal sempat menyampaikan rasa penghargaan dan permohonan maaf kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
“Tentunya pengalaman ini adalah sesuatu yang amat bermakna, penuh dengan pelbagai cabaran.
“Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan ataupun setiap satu perkara yang tidak disenangi.
“Saya telah cuba melakukan yang terbaik dan sebagai manusia biasa yang tidak sempurna dan tentu ada berlaku salah dan silap. Ampun dan maaf dari saya,” katanya.
Ahmad Faizal juga mendoakan Perak sentiasa dirahmati Allah SWT, dijauhi dari segala bala dan bencana, dan rakyatnya dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Perjalanan ini masih jauh dan panjang. Jika terselisih bahu, tersinggung siku, tegur-tegurlah mantan Menteri Besar anda ini kerana tentunya saya menganggap setiap seorang dari anda sebagai saudara saya di dunia dan akhirat.
“Kita akan berjumpa kembali tidak berapa lama lagi. Demi rakyat, kerana Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette