Home Utama Penarafan kredit boleh dinaikkan semula

Penarafan kredit boleh dinaikkan semula

Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Penarafan kredit bukanlah sesuatu yang bersifat kekal, selain itu ia hanyalah berbentuk pendapat kredit.

Sekiranya proses pemulihan ekonomi negara boleh berlaku dengan cepat hasil daripada dasar-dasar yang dibentangkan kerajaan, terdapat kemungkinan penarafan tersebut akan dinaikkan semula.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi sebegini pernah dialami Malaysia ketika menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1997/1998, jelasnya.

“Justeru, dalam membuat dasar ekonomi, pendapat kredit ini hanyalah salah satu faktor yang dipertbangkan apabila merangka dasar fiskal.

“Ia bukanlah segala-galanya,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Afzanizam diminta mengulas mengenai penurunan penarafan kredit Malaysia kepada BBB+ berbanding A- oleh Fitch Ratings, semalam.

Penurunan itu merupakan yang pertama sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98.

Fitch mengatakan, antara sebab yang mendorong penurunan penarafan tersebut adalah penularan pandemik Covid-19 serta situasi politik Malaysia.

Dalam pada itu, Afzanizam berkata, penarafan BBB+ masih dianggap gred pelaburan.

“Oleh itu, ada kemungkinan aktiviti jualan (oleh pelabur asing) bakal berlaku dalam keadaan yang terkawal.

“Di samping itu, kita mempunyai institusi pelaburan tempatan seperti dana-dana pencen, institusi perbankan, syarikat insuran dan sebagainya yang boleh menjadi penampan kepada aktiviti jualan oleh para pelabur asing ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, setakat Oktober lalu, pegangan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) adalah sebanyak 40.3 peratus berbanding 35.8 peratus pada April lalu.

Dari segi ringgit pula, terdapat kemungkinan aktiviti pengambilan untung disebabkan peningkatan nilai ringgit yang begitu drastik sejak kebelakangan ini.

Namun begitu, dengn tahap rizab antarabangsa yang selesa, Bank Negara Malaysia dilihat mampu untuk campur tangan di dalam pasaran matawang asing bagi menstabilkan nilai ringgit, katanya lagi. – MalaysiaGazette