KUALA LUMPUR – UMNO digesa supaya mengemukakan usul undi percaya terhadap kepimpinan Menteri Besar di Johor.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia untuk membuktikan adakah Kerajaan Negeri Johor benar-benar dapat bertahan dan bermaruah untuk terus mentadbir negeri itu.
“Saya merasakan adalah elok sekiranya UMNO mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan Menteri Besar Johor untuk membuktikan adakah kerajaan negeri ini benar-benar dapat bertahan dan bermaruah untuk terus mentadbir negeri Johor.
“Usul percaya ini akan dapat membuktikan keabsahan dukungan dan sokongan wakil-wakil Bersatu masih kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional Johor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, susulan daripada beberapa perkembangan menarik berkaitan politik tanah air khususnya di Parlimen dan terkini di DUN Perak, beliau berpendapat isu keabsahan sesebuah kerajaan itu telah mula menjadi perhatian rakyat di negara ini.
Menurut Ahli Parlimen Pulai itu lagi, adalah penting untuk rakyat melihat adakah kerajaan yang ada pada hari ini, sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri, memiliki keabsahan itu.
“Esok merupakan hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk meluluskan belanjawan negeri bagi tahun 2021.
“Besar kemungkinan sesuatu yang penting akan berlaku esok semasa hari terakhir sesi penggulungan belanjawan negeri yang mungkin akan memanaskan lagi suhu politik kerajaan PN di negeri Johor,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Cadangan yg bijak.. Boleh tengok umno johor ada telor atau tidak haha
Tapi still DAP jugak yg d salahkan…