KUALA LUMPUR – Seramai 31 remaja termasuk 13 orang perempuan ditahan ketika menyertai sambutan majlis hari jadi dan di bawah pengaruh dadah di Kondominium Taragon Residence yang terletak di Jalan Changkat Thamby Dollah, dekat ibu negara.
Serbuan dilakukan oleh pasukan dari IPD Dang Wangi sekitar jam 10.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, semasa serbuan itu polis menemui remaja-remaja berkenaan yang menyewa unit kediaman itu untuk sehari bagi tujuan majlis tersebut dengan kadar bayaran RM250.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas semua remaja yang berusia 14 hingga 20 tahun oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dang Wangi.
“Hasilnya mendapati 15 daripadanya iaitu sembilan lelaki dan enam perempuan dikesan positif dadah jenis Methaphetamine dan AMP manakala 16 lagi negatif.
“Seramai 16 orang lagi adalah bawah umur, yang mana lapan masih bersekolah menengah dan dua pelajar kolej sementara enam lagi tidak bersekolah,” katanya.
Mohamad Zainal berkata, remaja yang positif dadah telah dibawa balik ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, polis juga mengeluarkan kompaun kepada kesemua penama tersebut di atas kesalahan berada di satu tempat yang menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan Arahan Ketua Pengarah di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( PPPDPPB) 2020 dan PPPDPPB (No.8) (Pindaan) (No.4) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan yang sama.-MalaysiaGazette