BULAN kaunseling dengan tema “Rahmah Untuk Semua” telah melabuhkan tirainya namun kebimbangan masyarakat dengan gelombang wabak Covid-19 masih berterusan susulan angka jangkitan kes positif yang kian meningkat. Kaunseling merupakan wadah untuk manusia mencapai keseimbangan dalam setiap aspek kehidupan dan peranan kaunselor dalam menjunjung hasrat ini amatlah besar bagi membantu masyarakat menghadapi kemelut jiwa rentetan tekanan, rasa takut, panik, resah dan bimbang dalam bergelut dengan pelbagai masalah dan ketidakpastian. Justeru, banyak inisiatif dilakukan oleh badan kerajaan mahupun swasta bagi meringankan beban mental dan emosi rakyat Malaysia. Misalnya usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi sokongan psikologi melalui tele-kaunseling talian kasih dan WhatsApp talian kasih melibatkan 528 orang kaunselor berdaftar sebagai satu usaha membantu masyarakat yang terkesan dengan wabak Covid-19 mencapai kesihatan mental dan keseimbangan diri.
Melengkapkan diri sebagai insan yang seimbang adalah senjata ampuh untuk mengatasi rasa bimbang yang tercetus dalam kemelut ini. Setiap hari masyarakat disuap dengan berita dan cerita yang menakutkan hingga memburukkan keadaan psikologi yang seterusnya membawa kepada rasa bimbang. Sekiranya tidak dirawat ia akan menjadi lebih parah dan mencetuskan masalah mental kronik. Oleh itu beberapa kaedah boleh dibuat untuk mencapai keseimbangan diri bagi mewujudkan rasa tenang, selamat dan sejahtera. Dalam aspek pemikiran, kita boleh mencapai keseimbangan dengan berfikiran optimis. Optimis bermaksud kita selalu mempunyai harapan dan tanggapan yang baik dalam menghadapi sesuatu perkara ataupun masa hadapan. Ia juga melibatkan aspek dalaman diri seseorang yang mencerminkan sejauh mana ia berfikir tentang hal, perkara dan persepsi yang baik tentang sesuatu yang bakal berlaku.
Selain aspek pemikiran, keseimbangan diri boleh dicapai sekiranya kita membentuk sikap yang unggul melalui komunikasi asertif. Asertif ini bermakna kita mempertahankan hak dan nilai diri dalam masa yang sama masih menghormati hak, nilai dan kepercayaan orang lain. Malah melalui sikap ini juga seseorang dapat mencapai apa sahaja yang diingini dan meningkatkan motivasi untuk terus berjaya kerana sikap asertif ini adalah titik seimbang antara sikap pasif dan agresif. Tambahan itu, dalam aspek tingkah laku pula masyarakat Malaysia boleh mengurangkan kebimbangan ketika gelombang ketiga Covid-19 yang melanda negara dengan bertingkah laku baik (act of kindness). Ini kerana, tingkah laku baik boleh mencetuskan kepuasan dalam hidup dan seterusnya membawa kepada kebahagiaan. Kebahagiaan ini bukan sahaja dirasai oleh individu yang bertingkah laku baik, malah penerimanya juga akan turut merasa emosi yang positif.
Dalam membincangkan aspek bertingkah laku baik ini, ianya amat berkait dengan amalan filantropi. Filantropi merupakan amalan kebaikan yang dilakukan oleh individu berdasarkan rasa cinta dan sayang kepada individu lain. Amalan filantrofi ini telah diamalkan oleh umat manusia sejak ribuan tahun dahulu tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan kehidupan. Justeru, amalan filantropi ini amatlah wajar untuk dipraktikkan oleh semua masyarakat di Malaysia
Aspek kerohanian adalah salah satu elemen penting bagi mencapai keseimbangan diri. Setiap individu haruslah mengubah pandangan buruk terhadap wabak Covid-19 ini dan sebagai umat Islam, individu haruslah yakin kepada Allah SWT bahawa Allah akan sentiasa menolong dan memberi jalan keluar kepada setiap hambanya.
Ambillah masa dan kesempatan yang ada di sepanjang wabak yang berlaku ini sebagai titik tolak kepada kita untuk membuat suatu permulaan baru dan penghijrahan diri agar lebih dekat dengan pencipta, Allah SWT. Sesungguhnya, dengan mengingati Allah SWT setiap hati akan merasa tenang. Secara realitinya, sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19 corak dan gaya hidup setiap dari kita mengalami perubahan yang besar. Hal ini telah membawa kepada tekanan dan masalah psikologi. Meskipun dengan pelbagai kesan buruk, wabak Covid-19 ini harus dilihat dari sisi positif yang membawa kebaikan juga seperti penurunan kadar jenayah sehingga 67.8 peratus, penurunan kes kemalangan menurun 70 peratus dan statistik kematian di jalanraya turut menurun sehingga 90 peratus sepertimana yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Konklusinya, cabaran yang bertali arus dari wabak Covid-19 ini menjadi asas kukuh kepada pembentukan kekuatan diri yang mantap, membentuk daya tahan dengan ujian dan tabah menempuh arus perubahan bagi mencapai keseimbangan diri. Seharusnya setiap individu, mengambil iktibar dan pengajaran dari apa yang berlaku sepanjang kehadiran wabak Covid-19 ini dan berusaha menghayati serta mempraktikkan amalan-amalan yang baik bagi mengatasi rasa bimbang dan tertekan.
Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)