Home Nasional Ahmad Zahid tiba di Istana Kinta

Ahmad Zahid tiba di Istana Kinta

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di perkarangan Istana Kinta, Ipoh di Perak pukul 9.50 pagi ini.

Kehadiran Ahmad Zahid bagi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pagi ini berhubung kait dengan penyelesaian kemelut politik Perak.

Pertemuan itu memungkinkan penubuhan kerajaan negeri yang baharu setelah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang kepercayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru-baru ini.

Ekoran itu, petang semalam, Ahmad Faizal pada sidang media di kediaman lama mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Katanya, beliau telah menyembahkan warkah peletakan jawatan itu kepada Sultan Perak semasa menghadap baginda pada jam 3 petang semalam.

Semalam juga Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin Shah menitahkan semua parti politik di negeri berkenaan mencari formula terbaik membentuk kerajaan negeri baharu.

Baginda bertitah demikian pada sesi terima menghadap beberapa pimpinan parti politik di Istana Kinta di Ipoh.

Antara yang sudah menghapap adalah Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, Pengerusi PKR Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Pengerusi Amanah Datuk Asmuni Awi dan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad. – MalaysiaGazette