KUALA LUMPUR – Sehingga 70 peratus pusat hiburan malam termasuk bar dan karaoke telah gulung tikar sejak Mac lalu apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.
Walaupun kerajaan memberi kelonggaran kepada aktiviti ekonomi, tetapi pusat hiburan malam tidak dibenarkan dibuka.
“Selain pusat hiburan yang mempunyai sumber yang besar, lebih 70 peratus pusat hiburan malam, bar dan karaoke sedang berdepan cabaran gulung tikar.
“Industri ini sedang berdepan rintangan yang besar,” kata jurucakap persatuan yang mewakili industri hiburan.
Menurutnya, daripada maklumat yang ada, terdapat kira-kira 20,000 hingga 30,000 buah pusat hiburan malam yang memilih untuk menamatkan operasi di seluruh negara.
Katanya, ada pengusaha yang akhirnya memilih menjadi penjaja atau menjadi pedagang secara dalam talian.
Tambahnya, pengusaha di Kuala LumpurĀ sedang berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk meneliti kemungkinan menukar lesen mereka untuk membenarkan perniagaan restoran.
Dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikemas kini, aktiviti pusat hiburan malam, karaoke, taman tema, konsert dan panggung masih dilarang. – MalaysiaGazette