KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin meluahkan rasa terkejut dengan ura-ura kerjasama antara UMNO, DAP dan PKR di Perak selepas peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ginie yang juga merupakan wakil PKR melahirkan rasa kesal berhubung kerjasama ini yang pastinya tidak pernah difikirkan langsung.
Tulis Ginie dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini, pastinya kerjasama seperti itu untuk kepentingan sendiri bukan demi kestabilan politik serta kebaikan rakyat.
“Cadangan ini akan mengecewakan kerana mandat rakyat dalam PRU ke-14 pada tahun 2018 adalah menolak kerajaan kleptokrat yang dipimpin oleh Barisan Nasional-UMNO di bawah Datuk Seri Najib Razak ketika itu.
“Maka adalah menjadi satu pengkhianatan kepada mandat rakyat jika Pakatan Harapan (PH) bekerjasama semula dengan Umno dan memberi nafas baru kepada parti yang telah pun ditolak oleh rakyat.
“Apabila kuasa rakyat dibelakangi, mereka yang mendapat kuasa pemerintahan melalui taktik ‘perkahwinan politik’ terbukti tidak dapat bertahan lama sepertimana berlaku di Johor, Kedah dan terkini Perak,” tulisnya.
Ginie mengulas kesediaan DAP dan PKR bersedia untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu selepas perletakan jawatan Faizal Azumu.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebelum ini berkata, parti itu akan memberi kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri baharu yang lebih stabil.
“Demi kepentingan rakyat, DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membantu membina sebuah kerajaan kuat dan stabil serta pelbagai kaum.
Kata Ginie lagi, kekuataan PH adalah rakyat itu sendiri dan bukan sebaliknya.
“Usaha menyantuni masyarakat akar umbi pelbagai kaum dan merancang kerangka dasar yang progresif dan inklusif adalah kekuatan PH dalam piliharaya umum lalu.
“Politik tanpa prinsip akan sentiasa penuh dengan tipu muslihat dan ketidakpercayaan. Akhirnya yang dikejar semata-mata jawatan dan kuasa di atas nama kestabilan kerajaan dan kebaikan rakyat.
“Sekiranya inilah yang dikejar, apakah perjuangan reformasi lebih dua dekad ini suatu yang sia-sia?” soalnya.
Beberapa hari lepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk membentuk jajaran baharu politik di Perak.
Ini berikutan keputusan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak menyokong pembentukan kerajaan baharu di Perak selepas Ahmad Faizal gagal meraih sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri dalam usul undi percaya terhadap beliau kelmarin. -MalaysiaGazette