Home Seni Hidup Patuhi SOP semasa rentas negeri – PLUS

Patuhi SOP semasa rentas negeri – PLUS

Azman Ismail

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri di antara zon hijau apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan hari ini, komited untuk terus membantu menyediakan perjalanan yang selamat dan selesa.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, ramai yang telah memuat turun Aplikasi PLUS yang membolehkan mereka merancang perjalanan serta mendapatkan kadar bayaran tol ke destinasi mereka.

Aplikasi ini juga membolehkan pelanggan membuat pra-pesanan makanan di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang terpilih sepanjang perjalanan.

Lebih utama, aplikasi ini juga membolehkan pelanggan mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda sekiranya berlaku kecemasan di lebuh raya selain menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000.

Selain itu, chatbot pertama lebuh raya, PUTRI (PLUS Unique Texting Realtime Interface) juga turut bersedia berinteraksi untuk menjawab semua pertanyaan tentang lebuh raya PLUS,” katanya.

Perjalanan pelanggan di sepanjang 1,130 kilometer lebuh raya kendalian PLUS dibantu oleh 17 seksyen dan 4 wilayah operasi dengan kehadiran 572 anggota PLUSRonda serta pasukan keselamatan lebuh raya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka.

Dengan 29 R&R dan 50 hentian sebelah, pelanggan lebuh raya berpeluang untuk berhenti rehat dan menjamu selera dan mendapatkan pelbagai juadah makanan dan barangan daripada 600 rakan niaga PLUS.

Azman menambah, walaupun sedikit kelonggaran diberikan apabila PKPB ditamatkan, virus Covid-19 masih lagi berada di sekeliling kita.

Oleh itu, PLUS menasihatkan semua pelanggan lebuh raya supaya membuat urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal sebelum mereka memasuki lebuh raya di 11,000 kaunter tambah nilai yang disediakan di stesen minyak, pusat membeli-belah, mesin ATM dan sebagainya bagi memastikan mereka mempunyai baki yang cukup untuk perjalanan mereka.

Langkah mudah ini dapat menggalakkan transaksi tanpa sentuh dan tanpa tunai yang berperanan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Dalam masa yang sama, PLUS mengalakkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan agar lebih bertanggungjawab semasa situasi wabak Covid-19 ini. Pelanggan lebuh raya boleh menyemak status destinasi yang dituju daripada perspektif Covid-19 sebelum memulakan perjalanan mereka. Maklumat tersebut boleh didapati menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Aplikasi MySejahtera,”ujar beliau. – MalaysiaGazette