Home Nasional Dakwaan lantik Srikandi Bersatu jadi ahli YKN tak benar – Rina

Dakwaan lantik Srikandi Bersatu jadi ahli YKN tak benar – Rina

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menepis dakwaan kononnya kerajaan melantik sebahagian ahli Yayasan Kebajikan Negara (YKN) daripada ahli Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, dakwaan oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang  tersebut tidak benar serta tidak berasas.

Katanya, pemilihan ahli-ahli YKN terbuka kepada semua dan di peringkat awal, hanya 30 orang sukarelawan sahaja dilantik dalam memastikan pelaksanaan yayasan itu lebih berkualiti berdasarkan pengalaman yang ada pada setiap ahli.

“Bila kita memilih, kita tidak ada menyebut latar belakang politik. Bila kita memberi sumbangan pun kita tak tanya pun parti dari mana.

“Itu bukanlah salah satu syarat untuk menjadi Ahli YKN. Mereka bukan dilantik mengikut Parlimen namun seorang sukarelawan akan menjaga pelbagai merentasi daerah dan sebagainya.

“Ekoran itulah dalam sukarelawan perbezaannya Yang Berhormat Segambut turun menyampaikan bantuan, kita akan meminta YKN yang sampaikan. Sebab YKN akan turun padang dan membuat siasatan. Kita tak bagi kepada ahli politik dan NGO dan kita buka kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (DAP)  mencelah penggulungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membangkitkan dakwaan tentang lantikan ahli-ahli YKN dalam kalangan ahli Srikandi Bersatu.

Dewan Rakyat meluluskan belanjawan bagi KPWKM setelah undian suara mendapati lebih ramai ahli Parlimen yang bersetuju. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.