PESHAWAR – Tujuh pegawai perubatan di sebuah hospital di sini Peshawar telah digantung tugas, sehari selepas sekurang-kurangnya tujuh pesakit Covid-19 meninggal dunia kerana kekurangan bekalan oksigen.
Farhad Khan, jurucakap Hospital Pengajaran Khyber memberitahu, pesakit meninggal pada Sabtu malam selepas vendor yang membekalkan hospital dengan oksigen gagal tiba tepat pada waktunya.
Kekurangan bekalan oksigen itu menjejaskan 200 orang pesakit termasuk 100 pesakit yang dijangkiti koronavirus.
Kekurangan oksigen kronik itu “tidak disedari, tidak diawasi dan tidak diperiksa,” kata laporan awal sambil menambah, hospital itu juga tidak ada bekalan sokongan oksigen.
Pengarah hospital tersebut antara individu yang digantung tugas.
Siasatan terperinci sedang dijalankan.
Berdasarkan laporan media, paras oksigen di hospital itu semakin rendah kira-kira jam 8 malam dan ia tidak ditangani sehingga jam 12 tengah malam.
“Sebilangan kakitangan tidak bekerja, ada yang tidak hadir dan tidak ada pengaturan alternatif, malah pasukan kecemasan juga tidak tersedia,” kata Menteri Kesihatannya, Taimur Saleem Jhagra
Pakistan melaporkan lebih daripada 400,000 kes koronavirus – termasuk lebih daripada 8,000 kematian – sejak wabak itu melanda akhir Februari lalu. – MalaysiaGazette