KUALA LUMPUR – Seorang pembantu Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan Negeri Perlis mengaku tidak bersalah setelah gagal memberikan penjelasan munasabah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pemilikan wang sebanyak RM368,162.98 dalam akaun bank dan tunai simpanannya.
Tertuduh Mohd Zainal Murad@Jusoh, 50, telah membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozinah Ayub setelah kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa tidak dapat menjelaskan tentang pemilikan wang tunai sebanyak RM660,777,74 terdiri daripada akaun-akaun bank dan tunai yang dimilikinya semasa disiasat pada 30 Januari lalu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Tertuduh didakwa memiliki lebihan wang sebanyak RM368,162.98 daripada nilai RM660,777,74 setelah mengambil kira emolumen yang diterima sekarang dan masa lalu.
Berikutan itu, dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.
Jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide dibantu pendakwa Shahrul Idris mencadangkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, Mohd Zainal meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana mempunyai tanggungan tiga anak dan seorang isteri yang merupakan suri rumah sepenuh masa.
“Puan hakim saya merayu agar wang jaminan dikurangkan paling minimum mungkin memandangkan saya ada masalah kesihatan, sakit jantung, darah tinggi, kolesterol dan sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Kangar.
“Saya tidak bekerja sejak digantung kerja pada Februari lalu dan saya telah didenda RM10,000 dalam kes pertuduhan pilihan rasuah SPRM yang lain dan mengaku bersalah di Mahkamah Kangar pada 26 November lalu.
“Saya juga ada tiga tanggungan seorang di sekolah menengah, isteri tidak bekerja suri rumah sepenuh masa dan jual kuih muih secara sambilan, yang mana dia juga mempunyai masalah kesihatan kolesterol dan penyakit darah tinggi.
“Saya hadir sendiri dari Kangar setelah dimaklumkan mengenai pertuduhan di mahkamah pagi dan isteri saya menjadi penjamin selain adik kandung saya yang sedang menunggu di lobi mahkamah ini,” katanya sambil menyerahkan dokumen kesihatan jantung kepada mahkamah sebagai bukti menyokong keadaan kesihatannya.
Sementara itu Maziah juga tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap rayuan tertuduh, memberitahu mahkamah tertuduh memberi kerjasama penuh hadir ke siasatan tanpa gagal termasuk menempuh perjalanan jauh dari Kangar untuk menghadapi pertuduhan pagi ini.
Hakim Rozinah Ayub membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan dilarang ke luar negara sehingga keputusan kes.
Beliau turut menetapkan 7 Januari 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen serta melantik peguam oleh tertuduh.- MalaysiaGazette