Home Nasional Permohonan semakan Azilah ketepikan sabitan, hukuman mati bunuh Altantuya ditolak

Permohonan semakan Azilah ketepikan sabitan, hukuman mati bunuh Altantuya ditolak

Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri terhadap sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed berkata, mahkamah berpendapat berdasarkan rekod, tidak menunjukkan terdapat ketidakadilan dalam kes tersebut.

Beliau berkata, penekanan Azilah berhubung wujudnya bukti (mendakwa terima arahan daripada pihak ketiga untuk menjalankan pembunuhan itu), tidak membawa kepada situasi luar biasa yang memerlukan semakan.

Selain Hakim Azahar,  hakim lain yang menganggotai panel itu adalah Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Zabariah Yusof.

Terdahulu, panel yang sama menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencelah dalam permohonan semakan Azilah.

Hakim Azahar, bagaimanapun berkata, peguam (Najib) Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah bebas untuk hadir di mahkamah berkenaan, sebagai pemerhati bagi pihak beliau (Najib) dalam permohonan semakan itu.

Azilah, 43, memohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 dan memohon perintah untuk perbicaraan semula. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Kesihan Azilah.. Semoga beliau diberikan peluang sekali lagi dan dpt membersihkan diri dr tuduhan…yg peliknya knpa x bicara semula sbb Azilah ada menyatakan yg beliau diarah oleh orng ke 3..knpa para Hakim tu x beri peluang kpda Azilah

Comments are closed.