Home Nasional Rayer bangkit usul undi percaya DUN Perak, Azhar jawab tidak tahu

Rayer bangkit usul undi percaya DUN Perak, Azhar jawab tidak tahu

Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hari ini membangkitkan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang membenarkan usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak itu di Dewan Rakyat.

Rayer dipercayai mencuba nasib untuk menjadikan kemelut di DUN Perak sebagai alasan untuk bertanya kepada Speaker sama ada pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri juga boleh dilakukan di Dewan Rakyat.

Mendengarkan perkara yang dibangkitkan oleh Rayer, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dengan tegas berkata, beliau tidak terikat dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak lain termasuk Speaker di DUN Perak berhubung usul undi percaya atau usul undi tidak percaya.

Pada masa sama, katanya, beliau tidak ada kuasa menentukan giliran sesuatu usul kerana ia dalam bidang kuasa menteri bertanggungjawab.

Ini kerana, beliau terikat dengan peraturan itu kerana ia terkandung di dalam konvensyen.

“Pertamanya saya tidak tahu bagaimana usul percaya (kepada Menteri Besar) di DUN Perak ditangani oleh Speaker.

“Saya tidak tahu peraturan mesyuarat mana dan di bawah kuasa apa ia dinaikkan ke nombor satu. Saya tidak tahu,” katanya,

Azhar juga menambah, beliau tidak terikat dengan apa-apa tindakan Speaker lain, lebih-lebih lagi Speaker DUN kerana kurang pasti bagaimana mereka melakukan perkara itu.

Beliau turut kurang pasti mengenai peraturan mesyuarat yang digunakan di setiap DUN.

“Ketiga, selama ini saya tidak menaikkan notis usul yang dicadangkan di Dewan Rakyat ini, saya bukan buat sesuka hati,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. RSN Rayer ni sengaja buat provokasi.. Dia ingat dia bagus sgt kot. Speaker dah buat yg terbaik. TAHNIAH

Comments are closed.