Home Ekonomi Brent dijangka meningkat tahun 2021, tambah baik tinjauan hasil Petronas – Penganalisis

Brent dijangka meningkat tahun 2021, tambah baik tinjauan hasil Petronas – Penganalisis

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga minyak mentah Brent dijangka meningkat kepada US$60 (US$1=RM4.07) setong pada 2021 yang seterusnya akan menambah baik tinjauan hasil Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tahun depan, kata Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes.

Beliau tidak menjangkakan penurunan lagi penarafan kredit Petronas selepas agensi penarafan kredit  Fitch Ratings Inc menurunkan penarafan mungkir penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan perbadanan minyak nasional itu kepada  ‘BBB+’ daripada  ‘A-‘ pada Selasa.

“Saya tidak merasakan ia suatu yang benar-benar mengejutkan, kerana syarikat itu 100 peratus adalah milik negara,dan apabila penarafan induk (negara) diturunkan, selalunya ia akan turut sama berlaku kepada syarikat milik negara yang lain di bawah naungan kerajaan.

“Biasanya, penurunan penarafan akan menyukarkan untuk mengumpul tunai di pasaran terbuka, tetapi dalam hal ini, hutang Petronas disokong kerajaan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi e-mel hari ini.

Penurunan penarafan kredit Petronas itu sejajar dengan penurunan IDR Malaysia kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-‘ pada 4 Dis, 2020, juga dengan tinjauan stabil.

Menurut Fitch, IDR Petronas terus dibatasi oleh IDR Malaysia, mengikut kriteria Fitch bagi penarafan entiti berkaitan kerajaan kerana syarikat itu dimiliki 100 peratus oleh kerajaan yang mempunyai pengaruh besar dalam dasar operasi dan kewangannya.

Dalam tempoh lima tahun lepas, Petronas menyumbang lebih 15 peratus daripada hasil kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Innes berkata, isu terbesar Petronas adalah kekurangan hasil petrodolar setong dan tidak ada kaitan dengan bagaimana syarikat itu diuruskan, kerana ia masih terus bertahan memandangkan profilnya yang sangat konservatif.

Menurutnya, peningkatan harga minyak biasanya akan meningkatkan hasil petrodolar dan seterusnya dapat membiayai tabung kerajaan serta menambah baik tinjauan penarafan hutang Petronas.

“Petronas tidak berbelanja secara berlebih-lebihan, ia mengambil pendekatan pengoptimuman pemotongan kos bagi mengharungi kegawatan akibat daripada pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut berpandangan yang sama bahawa penurunan IDR Petronas itu adalah disebabkan hakikat syarikat tersebut dimiliki 100 peratus oleh kerajaan.

“Oleh itu, kerajaan mempunyai pengaruh besar dalam dasar operasi dan kewangannya.

“Bagaimanapun, profil kredit kendirinya yang dinilai oleh Fitch pada ‘AA-’, mencerminkan profil kewangan syarikat itu yang sangat kukuh, serta operasi minyak dan gas bersepadu berskala besarnya,” katanya kepada Bernama.

Justeru, katanya, keadaan kewangan dan perniagaan Petronas masih kekal kukuh.

“Perbelanjaan modal dijangkakan sekitar US$45 bilion hingga US$50 bilion dalam tempoh jangka sederhana.

“Penurunan penarafan itu mencerminkan alasan-alasan teknikal kerana penarafan IDR dibatasi oleh penarafan kredit negara. Jika tidak, perniagaan Petronas sangat berdaya tahan,” kata Mohd Afzanizam. – MalaysiaGazette