Home Nasional Enam beradik terima sumbangan zakat daripada PTPTN

Enam beradik terima sumbangan zakat daripada PTPTN

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan (tengah) bersama Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar (kanan) menyerahkan sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada anak mangsa kemalangan ngeri, Muhamad Hairy Izan (tiga kanan) dan Siti Laila Najwa (dua kanan) sambil diperhatikan bapanya, Faizul Hassan (kiri) di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2020.

HULU LANGAT – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menjalankan tanggungjawab sosialnya apabila menghulurkan sumbangan zakat perniagaan kepada sebuah keluarga di Batu 18, di sini.

Sumbangan berbentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM6,000 diberikan kepada enam orang anak berusia 13 hingga 25 tahun yang kehilangan ibu mereka selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 28 November lepas.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan (tengah) bersama Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar (kanan) bergambar kenangan dengan anak mangsa kemalangan ngeri, Muhamad Hairy Izan (dua kiri) dan Siti Laila Najwa (dua kanan) serta bapanya, Faizul Hassan (kiri) selepas menyerahkan sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2020.

Ketika ditemui semasa penyerahan sumbangan itu Wan Saiful berkata, ia diberikan berdasarkan rasa simpati pihaknya terhadap keluarga berkenaan yang baru sahaja menerima musibah daripada kejadian yang berlaku.

Katanya, sumbangan tersebut mampu memberi sedikit kelegaan kepada mereka dalam menempuh pendidikan di peringkat tinggi kelak.

“Kita harap dengan pemberian sumbangan ini pendidikan anak-anak dalam keluarga berkenaan dapat dibela.

“Pada mulanya, kami dimaklumkan ada sebuah keluarga yang wajar diberikan bantuan dan hari ini kita berikan simpanan skim berkenaan kepada enam orang anak daripada keluarga ini dengan setiap seorang akan menerima sebanyak RM1,000.

“Kita juga berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan pendidikan mereka pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada enam orang anak berkenaan, Faizul Hassan, 45, berkata, beliau amat beryukur dan berterima kasih kepada PTPTN kerana mengambil berat tentang masa depan anak-anaknya.

Temubual bersama bapa, Faizul Hassan selepas anaknya menerima sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2020.

Meskipun tahu anak-anaknya masih lagi merasai kesedihan selepas kehilangan ibu mereka, namun kehadiran PTPTN yang berziarah serta turut memberikan sumbangan zakat dapat mengubat kesedihan itu.

“Alhamdulillah, ada juga pihak prihatin terhadap nasib saya dan anak-anak. Sekarang tanggungjawab ini diberi kepada saya dan ibu saya untuk menjaga mereka,” kata beliau yang turut memberitahu telah berpisah dengan Allahyarhamah isterinya itu sejak beberapa tahun lalu.

Dalam pada itu, Muhammad Hairy Izan Faizul, 13 berkata, dia akan tetap tabah selepas ini walaupun terlalu singkat dalam kehidupannya untuk bersama ibu tersayang.

Temubual bersama anak, Muhamad Hairy Izan selepas menerima sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2020.

Katanya, dia akan belajar bersungguh-sungguh demi membela keluarga daripada terhimpit dalam situasi kesusahan.

“Saya akan manfaatkan sumbangan yang diberikan oleh PTPTN ini untuk kegunaan masa depan saya,” katanya.

Kakaknya, Siti Laila Najwa Faizul, 16, pula berkata, sumbangan berbentuk akaun simpanan SSPN-i yang diterimanya daripada PTPTN itu sangat bermakna buat dirinya pada masa akan datang.

Temubual bersama anak, Siti Laila Najwa selepas menerima sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2020.

Ujarnya, sumbangan tersebut mampu menyuntik semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kerjaya sebagai seorang guru yang boleh mendidik anak bangsa.

“Terima kasih PTPTN kerana prihatin terhadap nasib kami adik-beradik yang kini sudah hilang tempat berkasih daripada seorang yang dipanggil ibu,” katanya. – MalaysiaGazette