Home Pendapat Jangan mudah terpedaya dengan Macau Scam

Jangan mudah terpedaya dengan Macau Scam

Gambar hiasan.

KEGIATAN jenayah sindiket penipuan Macau Scam di negara ini semakin menjadi-jadi
dengan kerugian mangsa yang bukan sedikit, tetapi melibatkan ratusan juta ringgit
setiap tahun walaupun pihak berkuasa sedang giat membendungnya.

Dengan taktik licik menyamar sebagai pegawai daripada agensi pihak berkuasa atau
bank, mereka menghubungi mangsa dan mendakwa ada masalah di akaun bank
atau tunggakan pinjaman seterusnya menyuruh mangsa membayar amaun tertentu
untuk mengelakkan daripada didakwa di mahkamah atau dipenjara.

Ramai yang terpedaya kerana panik dan takut terutamanya warga emas lantas
mereka memindahkan duit kepada penjenayah ini dan akhirnya menanggung
kerugian yang besar bahkan ada yang mencecah jutaan ringgit seorang.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menunjukkan
rakyat Malaysia kerugian lebih RM518 juta dalam tempoh dua tahun lalu akibat
terpedaya dengan sindiket Macau Scam melalui satu temu bual yang dilaporkan
Sinar Harian, 28 November 2020.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, angka itu dijangka
meningkat pada tahun ini apabila setakat 18 November lalu, sebanyak RM264 juta
kerugian dilaporkan berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak RM254 juta.

Kerugian dengan angka ratusan juta ringgit dalam sesuatu jenayah merupakan satu
angka yang menggerunkan. Jika jenayah terancang ini tidak dibendung dengan
tegas dan hukuman yang lebih keras, ia boleh menjadi satu krisis nasional yang
boleh mengancam kelestarian dan keharmonian masyarakat.

Yang lebih menyedihkan, kegiatan jenayah ini disyaki turut melibatkan lebih 20
anggota polis seperti yang disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador
baru-baru ini. Jika terbukti, penglibatan ini sudah pasti mencemarkan imej pasukan
keselamatan itu sendiri yang sedang berusaha keras membanteras jenayah
tersebut.

Beliau mengakui bahawa pegawai kanan polis adalah antara yang diambil tindakan
berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu
siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman
Datuk Zamri Yahya, pegawai dan anggota polis terbabit bakal berdepan digantung
tugas selain ditamatkan perkhidmatan jika pembabitan mereka dibuktikan, seperti
yang dilaporkan Bernama pada 20 November 2020.

Teringat penulis satu peristiwa pada awal tahun ini. Penulis dihubungi seseorang
yang mendakwa seorang pegawai bank yang memaklumkan bahawa penulis
mempunyai hutang tertunggak kad kredit di sebuah bank berjumlah ribuan ringgit.
Memang penulis adalah pelanggan bank itu tetapi satu kesalahan besar pemanggil
tersebut ialah penulis tidak pernah memohon atau mempunyai kad kredit di mana-
mana bank. Jadi penulis menafikannya dan terus menghentikan perbualan.

Apa langkah yang perlu diambil jika menerima panggilan sebegini?

1. Jika sekiranya mendapat panggilan dan tertera di telefon bimbit nombor-nombor
yang tidak kenali atau nombor luar negara yang panjang, abaikan sahaja. Terima
panggilan yang benar-benar dikenali dan diyakini sahaja.
2. Jika ingin juga menerima panggilan tersebut, kenal pasti siapa namanya dan
dengar dahulu apa yang mereka minta.
3. Jika pemanggil mendakwa ia daripada agensi kerajaan seperti mahkamah, polis
atau bank serta mendakwa mendakwa anda ada terlibat kes dadah, pengubahan
wang haram, tunggakan pinjaman, kad kredit atau sebagainya serta meminta untuk
memindahkan sejumlah wang ke akaun tertentu supaya tidak didakwa atau
dipenjara, jangan cepat panik.
4. Jangan dedahkan maklumat perbankan anda seperti nombor akaun, nombor kad
kredit, kata laluan dan sebagainya kepada pemanggil yang tidak dikenali jika
diminta. Mana-mana agensi kerajaan atau bank tidak akan meminta maklumat
sebegitu. Ia jelas satu penipuan.
5. Jangan teruskan perbualan itu. Dapatkan nombor rasmi agensi kerajaan atau
bank terbabit dan hubungi mereka untuk mendapatkan pengesahan lanjut.
6. Hubungi polis atau SPRM jika ada info lanjut mengenai sindiket penipuan
kewangan seperti Macau Scam.

Membanteras jenayah kewangan sebesar Macau Scam ini bukan hanya terletak
kepada agensi penguatkuasaan atau mahkamah sahaja. Peranan masyarakat amat
penting supaya mereka mampu mencegah jenayah ini terjadi dan sentiasa
berwaspada dengan panggilan daripada sesiapa sahaja yang tidak dikenali yang
meminta supaya memindahkan wang.

Bagi anak muda yang sentiasa mendapat maklumat mengenai sindiket penipuan terancang ini, mereka perlu memesan rakan-rakan, ahli keluarga dan ibu bapa mereka terutamanya warga emas atau pesara agar berhati-hati dengan sebarang panggilan yang licik ini dan melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan dengan masalah tersebut.

Mohammad Hafizuddin bin Abdul Mukti
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia