PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 dijangkakan kekal tinggi untuk beberapa waktu susulan perluasan saringan terhadap pekerja warga asing yang dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di enam buah negeri.
Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan 400 orang pesakit baharu Covid-19 kategori 1 (individu tidak bergejala) akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) atau PKRC (MAEPS) 2.0 pada minggu ini.
“Ini adalah sebagai langkah kesiapsagaan bagi menghadapi isu peningkatan kes susulan perluasan saringan dalam kalangan pekerja warga asing dan juga peningkatan kes di Lembah Klang,” katanya ketika sidang media di KKM hari ini.
Kata Dr. Noor Hisham, PKRC MAEPS 2.0 akan berfungsi untuk menempatkan 250 pesakit bukan warganegara yang sebelum ini telah diasingkan di Institut Latihan KKM (ILKKM) Sungai Buloh .
Terdapat peningkatan kes positif Covid-19 yang ketara sejak kebelakangan ini berikutan perluasan saringan ke atas para pekerja khususnya warga asing di kilang dan juga tapak binaan.
Kebanyakan kes positif Covid-19 ini adalah daripada kategori 1 iaitu individu yang tidak bergejala dan kategori 2 (pesakit yang bergejala ringan).
PKRC (MAEPS) 2.0 akan dibuka secara berfasa dengan kapasiti maksimum 1,000 buah katil.
Fasa pertama akan dimulakan pada hari ini dengan kapasiti sebanyak 650 buah katil yang akan ditambah secara berperingkat.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, hampir 80 peratus pesakit Covid-19 adalah dalam kategori 1 manakala 14 peratus untuk kategori 2. – MalaysiaGazette