Home Nasional SPRM sasar penglibatan PBT perangi rasuah

SPRM sasar penglibatan PBT perangi rasuah

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta melaporkan sebarang tawaran rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan segera agar gejala ini dapat ditangani secara menyeluruh.

Bertepatan dengan tema Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2020 peringkat kebangsaan yang bertemakan ‘PBT Perangi Pemberi Rasuah, SPRM menerusi kenyataan berkata, pihaknya mensasarkan penglibatan kakitangan pihak berkenaan dalam usaha memerangi rasuah dalam negara.

Bersempena dengan sambutan itu juga, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki telah menyampaikan amanat beliau tentang kepentingan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa ketika menghadiri Majlis Perasmian Sambutan HARA 2020 di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.

HARA 2020 peringkat kebangsaan merupakan program anjuran bersama SPRM dan Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) dengan penglibatan sebanyak 153 PBT di seluruh negara, menyusuli pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2003 yang menetapkan 9 Disember setiap tahun sebagai sambutan HARA.

Selain program walkabout yang dijalankan secara serentak di seluruh negara melibatkan PBT dan masyarakat umum, turut diadakan ialah sesi dialog antara SPRM dan PBT serta sesi menandatangani Janji Warga PBT bagi membuktikan komitmen setiap warga PBT dalam memerangi jenayah rasuah.

Di peringkat antarabangsa, tema yang ditetapkan oleh PBB ialah ‘United Against Corruption’, bagaimanapun, mengambil kira situasi pandemik Covid-19, tema khusus yang diperkenalkan tahun ini ialah ‘Recover with Integrity’.- MalaysiaGazette