KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 217 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 210 individu dikompaun manakala tujuh individu pula direman.
Antara kesalahan tersebut membabitkan 99 kes tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (31), aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10).
Sementara itu, Ismail berkata, seramai 85,383 individu dilaporkan telah pulang ke Malaysia melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lalu.
“Semuanya ditempatkan di 77 Hotel dan 19 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.
“Daripada jumlah itu, 12,626 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 542 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 72,215 individu dibenarkan pulang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut meminta orang ramai agar menghubungi talian National Task Force (NTF) di 011 6251 1223 untuk menyalurkan maklumat berkaitan warga asing dan jenayah rentas sempadan. – MalaysiaGazette