Home Nasional Lima ADUN angkat sumpah Exco Perak

Lima ADUN angkat sumpah Exco Perak

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

KUALA KANGSAR – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Empat daripada ADUN berkenaan mengekalkan jawatan Exco di bawah pentadbiran sebelum ini, iaitu Datuk Zolkafly Harun (BN-Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota).

Seorang lagi yang mengangkat sumpah jawatan adalah Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik).

Pelantikan kelima-lima ADUN itu mendapat perkenan daripada Sultan Nazrin setelah nama mereka dipersembahkan oleh Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, kepada baginda.

Mendahului istiadat mengangkat sumpah itu adalah Zainol Fadzi, diikuti Zolkafly, Shahrul Zaman, Dr Wan Norashikin dan Khairul Shahril.

Kesemua mereka kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim.

Pagi tadi, ADUN Kota Tampan, Saarani, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14.

Pada sidang media sulungnya sebagai Menteri Besar Perak, Saarani berkata istiadat mengangkat sumpah perlu disegerakan bagi membolehkan mesyuarat Exco dijalankan seterusnya meneliti dan meluluskan Belanjawan 2021 negeri.

Barisan Exco Perak terbubar selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 5 Dis lalu, selepas beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.

Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu, Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali. – BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.