Home Nasional Lima premis sepanjang Sungai Rawang, Sungai Gong akan diroboh

Lima premis sepanjang Sungai Rawang, Sungai Gong akan diroboh

Lima lagi premis akan diambil tindakan perobohan menerusi Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran fasa kedua awal tahun hadapan jika pemilik ingkar notis arahan.

RAWANG – Lima lagi premis akan diambil tindakan perobohan menerusi Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran fasa kedua awal tahun hadapan jika pemilik ingkar notis arahan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd. Noor berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah mengeluarkan notis pendudukan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 sejak seminggu lalu ke atas lima premis berkenaan yang berada di sepanjang Sungai Rawang dan Sungai Gong.

Menurut beliau, sebanyak lapan kilang dan premis haram selesai diroboh dan dibersihkan melalui fasa pertama operasi tersebut.

“Lapan premis sudah selesai untuk fasa pertama dan ada lima lagi premis telah dikenal pasti untuk fasa kedua. Siasatan telah dijalankan dan notis dikeluarkan seminggu lalu, mungkin awal bulan depan kita buat operasi.

“Kita ambil tindakan terhadap premis-premis terutamanya kilang di sepanjang sungai kerana kita dapati ada di antaranya berpotensi untuk cemarkan sungai sehingga mengakibatkan loji rawatan air ditutup dan menimbulkan kesusahan orang awam.

“Kawasan seperti ini memang tidak akan diluluskan atau diberi pemilikan kerana ia adalah tanah kerajaan dan rizab lembangan Sungai Selangor,” katanya ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di Taman Mawar hari ini.

Menerusi operasi bersepadu tersebut, sebuah buah premis yang menjalankan aktiviti kitar semula dan sebuah kilang membuat pintu dikenakan tindakan perobohan.

Kedua-dua premis itu terletak kurang lima meter dari Sungai Rawang.

Jelas Shamsul Shahril lagi, premis tersebut telah disewakan dengan kadar RM2,000 sebulan oleh individu tertentu.

“Saya difahamkan ada individu tertentu yang menyewakan kepada pemilik kilang sedangkan tanah ini adalah tanah kerajaan. Jadi dia (pemilik kilang) ingatkan kawasan ini legal tapi dia tak semak dengan pejabat tanah atau MPS jadi ada sedikit kes penipuan di sini.

“Jadi, saya minta kepada yang ingin membuka penempatan atau perusahaan pastikan mereka mengikut peraturan, semak dari segi status tanah dan juga mohon kelulusan dari pihak MPS,” ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan bancian terdapat kira-kira 70 kilang dan premis yang berisiko mengakibatkan pencemaran telah dikenal pasti oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan majoritinya berada di atas tanah kerajaan.

“Premis di tepi sungai ada 70 lebih tapi lapan daripadanya sudah dirobohkan dan kesemua berada di bawah kawasan pentadbiran MPS,” katanya.

Selasa lalu, sebuah bengkel jentera berat haram dan sebuah kandang lembu dirobohkan dalam operasi sama yang dijalankan oleh MPS di Jalan Kuala Garing di sini. – MalaysiaGazette